Perbezaan Nyata Antara Islam dan PAS (Sememangnya Malaysia ialah sebuah Negara Islam)


Para Pembaca Nilaikan Sendiri dan Fikirkan Secara Mendalam Kewajaran AS mempost artikel ini. Disini AS bawakan artikel dari JAKIM berkenaan bahawa Malaysia sememangnya negara Islam. Harap para pembaca dapat refresh kembali. Oleh itu, para pembaca hayatilah betapa kita sekarang ada musuh dalam selimut yang sedang dalam ke arah menidakkan fakta bahawa Malaysia adalah negara Islam. Berwaspadalah kita dengan kafir harbi DAP dan sekutu-sekutunya yang ingin menyamaratakan semuanya sama tak kira Agama dan Bangsa.

MALAYSIA NEGARA ISLAM

Oleh : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

PENDAHULUAN
Istilah ‘Negara Islam’ tidak tercatat secara langsung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Perbahasan mengenainya hanya dibuat berpandukan kepada ijtihad para ulama mujtahidin. Perbahasan ini dibuat bertujuan menentukan kategori sesuatu negara atau tempat yang didiami oleh umat Islam samada bertaraf ‘kampung halaman Islam atau hak umat Islam’ atau ‘kampung halaman kafir harbi’ yang memerangi umat Islam.

Negara-negara di dunia ini mengikut penilaian hukum fiqh terbahagi kepada tiga kategori, iaitu;

i. Negara Islam.
ii. Negara kafir yang berperang dengan Islam, dan.
iii. Negara kafir yang tidak memerangi Islam.

DEFINISI NEGARA ISLAM
Beberapa definisi Negara Islam yang dirumuskan oleh ulama dan cerdikpandai Islam adalah seperti berikut;

i. Muhammad bin Hasan As Syaibani:
“Negara yang dikuasai dan diperintah oleh umat Islam dan orang-orang Islam menikmati keamanan dan keselesaan di dalamnya”.

ii. Muhammad Abu Zuhrah:
“Negara Islam ialah negara yang berada di bawah kuasa pemerintahan orang Islam. Kekuatan dan pertahananya dikuasai orang Islam. Negara sedemikian wajib dipertahankan oleh setiap individu muslim”.

Berpandukan kepada definisi di atas, jelaslah Malaysia adalah sebuah negara Islam. Keraguan dan pertikaian mengenai Malaysia sebagai sebuah negara Islam adalah tidak berasaskan fakta dan ianya tertolak.

Malaysia sebagai negara Islam telah diperkuatkan lagi dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan. Peruntukan ini tidak diadakan oleh penjajah, tatapi diusaha oleh pejuang dan pemimpin negara seiring perjuangan mencapai kemerdekaan.

ASAS-ASAS NEGARA ISLAM

Asas-asas utama sesebuah negara itu diiktiraf sebagai negara Islam antaranya ialah;

· Sesebuah negara yang tunduk akur di bawah kuasa Islam dan orang Islam sebagai ketua pemerintah.
· Tanahair orang Islam adalah sah sebagai negara Islam.
· Sesebuah negara yang aman dan bebas didirikan syiar Islam di dalamnya.

MALAYSIA ADALAH NEGARA ISLAM

Hasil dari definisi dan pandangan ulama mengenai negara Islam, jelaslah Malaysia sebagai negara Islam kerana ciri-ciri berikut;

· Malaysia adalah tanahair orang Islam sejak turun temurun.
· Ketua pemerintahan negara dipegang oleh orang Islam.
· Malaysia masih didiami oleh orang-orang Islam sebagai pemunya.
· Umat Islam bebas menunaikan amalan syariat Islam malah dibantu oleh Kerajaan.
· Sistem mempertingkatkan ibadah, munakahat dan muamalat dilaksanakan diserata negara.
· Pendidikan Islam diajar dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi dan sentiasa ditingkatkan mutunya.
· Mahkamah syariah ditubuh dengan rasmi dan hasil keputusannya tidak boleh diganggu oleh mahkamah sivil.

MALAYSIA NEGARA SEKULAR ?

Terdapat di kalangan umat Islam di Malaysia yang menganggap Malaysia sebagai negara sekular. Oleh itu eloklah difahami terlebih dahulu apakah erti sekular. Perkataan ‘sekular’ berasal daripada perkataan Latin seaculum yang bermakna ‘alam ini’ atau ‘dunia ini’. Gerakan fahaman sekularisma bermula pada pertengahan abad ke 19 di England yang diasaskan oleh George Jacob Holyoake (1817-1906). Golongan ini hanya mementingkan kebajikan manusia di dunia dan menafikan kewujudan alam akhirat.

Dalam suasana sedemikian, sekularisma telah dipersepsikan menerusi ciri-ciri berikut;

· Menolak kepercayaan adanya Tuhan. Segalanya berpusat pada alam ini.
· Menolak kepercayaan adanya hari akhirat dan perkara-perkara berkaitan dengan kehidupan selepas mati.
· Agama dan dunia terpisah secara total.

Apa yang sedang diamalkan oleh negara Malaysia hari ini ialah berusaha menjaga kebajikan umat Islam dan memartabatkan agama Islam serta tidak lupa tanggungjawab kepada rakyat bukan Islam. Tanggungjawab sedemikian adalah sebahagian suruhan Islam.

Kerajaan juga telah berusaha memantapkan akidah, memajukan syariah dan mempertinggikan akhlak umat. Dengan pelaksanaan tugas-tugas tersebut, keadaan dan keraguan serta kekeliruan umat Islam di negara ini adalah tidak berasas dan tidak mempunyai sebarang faedah. Status negara Malaysia sebagai negara Islam tidak boleh lagi dipertikaikan, sebaliknya adalah lebih baik menerima realiti yang ada dan berusaha memperkuat serta memperbaiki lagi mana-mana kelemahan dan kekurangan jika ada.

USAHA YANG DILAKUKAN OLEH KERAJAAN MALAYSIA

Antara usaha yang dilakukan oleh Kerajaan dalam menunaikan tanggungjawab sebagai sebuah Kerajaan Islam ialah seperti berikut;

· Menjaga kepentingan agama serta mentadbir urusan negara dan umat.
· Mengurus pemerintahan adalah antara kewajipan agama yang terbesar, malah agama itu sendiri tidak dapat ditegakkan tanpa wujudnya pemerintahan.
· Memelihara agama dari sebarang pencerobohan fahaman dan ajaran yang boleh memesongkan akidah sebenar Islam. Fahaman agama yang dipegang ialah yang bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah serta akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
· Melantik jemaah menteri bagi membantu negara dalam menjalankan tugas-tugas pemerintahan. Dalam hal ini, Islam mengharuskan melantik orang bukan Islam yang menjadi warganegara sebagai menteri untuk melaksanakan dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan.
· Menyediakan tenaga tentera dan sistem pertahanan negara bagi menjamin keselamatan agama, bangsa dan negara.
· Mewujudkan sistem perundangan dan kehakiman bagi menyelesaikan pertikaian dan menegakkan keadilan.
· Mendirikan dan menguruskan kelicinan peribadatan seperti mendirikan masjid dan menguruskan pentadbiran berkaitannya.
· Mengendalikan urusan ibadat haji dengan teratur.
· Menguruskan hal ehwal zakat secara bersistem.
· Memungut hasil cukai yang pelbagai untuk dana negara.
· Menguruskan sistem pentadbiran awam yang cemerlang.
· Membanteras jenayah dan sebagainya.

KEWAJIPAN RAKYAT TERHADAP PEMERINTAH

Oleh kerana Malaysia sebuah negara Islam, maka berkewajipan setiap rakyat melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab yang antara lainnya ialah seperti berikut;

· Taat serta patuh dengan ikhlas dan penuh rasa bangga.
· Bersedia menolong pemerintah dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
· Menjauhi diri dari perbuatan-perbuatan mungkar seperti menganggu ketenteraman awam, menimbulkan huru-hara dan mengancam keselamatan masyarakat dan negara.
· Bertanggungjawab mempertahan dan menaikkan nama negara pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
· Berusaha membangun dan memajukan ekonomi diri, masyarakat dan negara.

PENUTUP

Malaysia sebagai sebuah negara Islam adalah menepati dengan definisi yang diperkatakan oleh ulama masa kini dan terdahulu. Tugas kita sekarang ini adalah untuk mengisi dan memantapkan lagi apa-apa yang perlu diperkemaskan dan tidak lagi menghabiskan masa mempertikaikannya kerana telah jelas bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang terbukti dari segi sejarah, perundangan, pembangunan dan penghayatan Islam.

Disediakan oleh;

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

No comments:

Post a Comment