Mesti baca! Kenyataan dan Tuntutan Pengikut Syiah Di Malaysia!

SEBARAN MEDIA

1. Pada 15hb Disember, 2010 / bersamaan 09hb Muharam 1432, bertempat di Hauzah Ar Ridha (as), Sri Gombak, Batu Caves, Selangor Darul Ehsan antara pukul 10.15 - 12. 00 malam pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dikepalai oleh pengarahnya, Muhammed Khusrin bin Munawi bersama-sama kakitangan (JAIS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), berserta pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah
memecah masuk dan menyerbu ke dalam Hauzah Ar Ridha (as), Sri Gombak, Batu Caves, Selangor. Ketika itu sedang berlangsung Majlis Tahlil Arwah untuk Saidina Hussein (rd) cucunda kepada Rasulullah Muhammad s.a.w .

2. Tindakan (JAIS) menceroboh dan memecah masuk ke Majlis Tahlil Arwah Saidina Hussein yang
sedang berlangsung pada malam tersebut tidak ada kaitan sama sekali dengan penyebaran fahaman Pencinta Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w. (Syiah), kepada mana-mana pihak di Selangor atau di Malaysia. Majlis dilakukan secara tertutup di premis yang sah dan Majlis Tahlil Arwah tersebut hanya bertumpu kepada memperingati arwah cucuanda Rasulullah, Nabi Muhammad (s.a.w.)
dalam Kalendar Umat Islam.

3. Jaminan hak-hak kebebasan untuk beragama diperakukan dalam Perkara 18, Piagam Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1948 dan Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Deklarasi Amman, Jordan 2008 oleh Pertubuhan Dunia Negara-Negara Islam (OIC) juga memberi jaminan hak beragama diberikan kepada Komuniti Pencinta Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w.( Syiah).

4. Komuniti Pencinta Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w. (Syiah) di Malaysia adalah sebahagian daripada masyarakat besar Pencinta Ahlul Bayt seluruh dunia yang berjumlah sekitar
200-500 juta umat Islam.

5. Komuniti Pencinta Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w. (Syiah) di Malaysia TIDAK BOLEH DISAMAKAN dengan masyarakat Syiah di rantau lain, seperti rantau Indo-Pakistan, Asia Tengah atau
Timur Tengah yang mempunyai tradisi dan kebudayaan berbeza. Kami minoriti Syiah di Malaysia mempunyai jati diri yang khusus. Adalah kami minoriti Syiah di Malaysia tidak boleh digeneralisasikan sama seperti umat Islam Syiah di rantau lain.

6. Ahli Komuniti Pencinta Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w. (Syiah) di Malaysia datang dari pelbagai jalur etnik Melayu dan umat Islam yang mana mazhab Ja'fari (mazhab fikah Syiah) ADALAH MAZHAB ASAL KAMI.

7. Oleh kerana tiadanya dialog dan wacana di antara pihak berkuasa agama tempatan dengan komuniti kami (Syiah) di Malaysia maka telah berkembang kejahilan, kekeliruan dan salah anggap yang sangat besar terhadap kami.

8. Etnik Melayu yang berketurunan Aceh, Minang, Bugis, Jawa, (hanya beberapa contoh) dan umat Islam dari keturunan Siam-Ayuthya, Pakistan dan Arab terdapat sebahagian kecilnya adalah pendokong Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w Syiah sejak turun-temurun (daripada nenek moyang). Kami mempunyai bukti atau hujah akademik serta warisan sejarah keluarga yang mesti diperakukan menurut Piagam Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia bahawa kami adalah bermazhab Syiah atau mengamalkan fikah Ja'fari sebagai MAZHAB ASAL kami.

9. Ekoran tiadanya dialog dan kajian sejarah, budaya dan etnik yang tersusun dari pihak berkuasa
dan juga sarjana akademik tempatan menyebabkan kami telah disudutkan dan tidak
diketahui kewujudannya sekian lama.

10. Fitnah yang disebarkan mengenai kami Pencinta Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w. (Syiah) di Malaysia mengakibatkan salah faham yang sangat buruk terhadap kami. Salah faham yang buruk ini mendorong pewartaan undang-undang yang tidak adil buat kami.
Antara fitnah yang dilemparkan ialah:

a.) Kami Komuniti Pencinta Ahlul
Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w (Syiah) menghalalkan darah saudara-saudara kami yang sebangsa dan seagama dari golongan Sunnah. Kami ingin menegaskan bahawa terdapat antara penganut Syiah atau Ja'fari dalam kalangan kami berkahwin dan hidup dalam masyarakat ahlus sunnah wal jamaah secara rukun damai secara turun-temurun.

b.) Sebagai sebuah masyarakat, kami tidak dapat mengawal setiap penganut mazhab Syiah atau Ja'fari. Perbuatan segelintir daripada kami tidak dapat dihujahkan mewakili seluruh komuniti. Selain itu mesti
diingatkan di sini, oleh kerana tiadanya sebarang dialog dan ruang untuk kami bersuara, terdapat banyak kekaburan dan kekeliruan tentang konsep-konsep ajaran Syiah disebarkan.

11. Perbuatan tidak bertanggungjawab Mohammed Khusrin Munawi selaku Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor terhadap kami mengakibatkan fitnah dan kekeliruan terhadap masyarakat besar Pencinta Ahlul Bayt (Syiah) seluruh dunia yang berjumlah sekitar 200-500 juta umat Islam semakin dipanjangkan. Aksi tidak bijak ini boleh menjejaskan imej Malaysia di luar negara.

12. Kami Komuniti Pencinta Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w. (Syiah) di Malaysia percaya kami telah dijadikan bahan uji, adu domba dan diKambing Hitam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, seperti yang dipelihatkan oleh tindak-tanduk Mohammed Khusrin Munawi (JAIS), Media Cetak/Elektronik, bloggers dan pemuka agama.

13. Tidak akan menumpahkan darah, tidak akan bersubahat, tidak akan terlibat dalam sebarang kegiatan
militan, teror dan persenjataan yang dapat meletakkan negara tercinta dalam kedudukan bahaya. Kami juga bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membendung sebarang elemen atau anasir militan, teror dan ganas. Sentiasa menjunjung dan memperakukan institusi beraja dan perlembagaan Malaysia serta taat setia Yang Dipertuan Agong. Tidak akan terlibat dalam sebarang bentuk tindakan yang boleh menggugat keselamatan negara ini.

14. Kami Komuniti Pencinta Ahlul Bayt (Syiah) di Malaysia memohon perlindungan HAK dari SUHAKAM
berpaksikan Perlembagaan Malaysia agar hak minoriti kami sebagai rakyat Malaysia dilindungi oleh pihak-pihak yang berwajib. Sekiranya hak kebebasan beragama dan kepercayaan telah diberikan kepada minoriti yang beragama HINDU, BUDDHA, KRISTIAN, SIKHISM atau lain lain agama, mengapa kami dicaci, dihina, difitnah dan kini diugut semata-mata kerana mengamalkan mazhab kepercayaan kami turun-temurun sejak nenek moyang iaitu ‘Mazhab Ahlul Bayt' atau Syiah Imamiyah (mazhab fikah kami: Ja'fari) yang dianuti lebih 200-500 juta umat Islam seluruh dunia.

TUNTUTAN

1. Kami Komuniti Pencinta Ahlul Bayt (Syiah) di Malaysia dan Syiah seluruh dunia menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Mohammed Khusrin bin Munawi dan Jabatan Agama Islam Selangor setelah
beliau dan jentera di bawahnya mencabul hak-hak kami dan menfitnah kami dengan dahsyatnya.

2. Kami Komuniti Pencinta Ahlul Bayt (Syiah) di Malaysia dan Syiah seluruh dunia menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada media cetak dan elektronik yang menfitnah kami tanpa asas kukuh.

3. Kami Komuniti Pencinta Ahlul Bayt (Syiah) di Malaysia dan Syiah seluruh dunia menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada ulama dan pemuka agama yang menfitnah kami, khususnya Hassan Din al-Hafiz yang dalam laporan Berita Harian 18 Disember 2010 di halaman 4 memanggil anak-anak kami penganut Syiah sebagai anak tidak sah atau anak haram.

4. Kami Syiah Malaysia menawarkan dialog dan ingin menghulurkan salam perkenalan dan perbincangan dengan pihak berkuasa agama semua negeri khususnya Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia(JAKIM).
5. Kami Syiah Malaysia menawarkan dialog dan ingin menghulurkan salam perkenalan dan perbincangan dengan pihak berwajib iaitu Perdana Menteri Malaysia. Kami percaya slogan 1Malaysia yang digagaskan oleh beliau bemaksud untuk mendakap seluruh minoriti yang ada dan diberikan hak-haknya selaras dengan semangat perlembagaan.

6. Kami Syiah Malaysia menawarkan dialog dan ingin menghulurkan salam perkenalan dan perbincangan dengan penggubal undang-undang (ahli parlimen) sebagai wakil rakyat kami.

7. Kami Syiah Malaysia menawarkan dialog dan ingin menghulurkan salam perkenalan dan perbincangan dengan semua entiti politik termasuk parti pembangkang.

8. Kami Syiah Malaysia menawarkan dialog dan ingin menghulurkan salam perkenalan dan perbincangan dengan semua entiti sosial seperti badan-badan bukan kerajaan.

Kamil Zuhairi Ab Aziz.
Ketua
Minoriti Pencinta Ahlul Bayt (Keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w. (Syiah)
Malaysia (IRIB)

AS bukanlah seorang yang terlalu aarif dalam agama dan pembaca jangan salah sangka ingat AS ni seorang yang berfahaman syiah. Namun AS pohon pihak berwajib terutamnya kerajaan mengambil serius terhadap dakwaan dan tuntutan kumpulan ini..

Cuma AS nak kongi satu cerita benar, AS tiada masalah dengan syiah, cuma nak cerita seorang kawan AS adalah salah seorang pengikut syiah yang di tangkap tempoh hari, dia lulusan UIAM, masa dia dikaunseling oleh pegawai JAIS, dia kata, dia yang kaunseling pegawai JAIS tu balik,dia kata pegawai JAIS tu tak terjawap bila dia bagi hujah...betul ke tidak apa yang dia cakap tu, wallahualam...tapi sampai sekarang dia masih bebas mengamalkan akidah syiah.

2 comments:

  1. salam, syiah perlu dihalang, masalah utama hanya satu bukan amalan mereka, tetapi akidah dan kepercayaan mereka.

    ReplyDelete
  2. saya pun bukan orang agama untuk bercakap pasal agama... Tapi cuba kita perhatikan apa yang berlaku sejak kebelakangan ini.

    Mungkin kita tak boleh menyatakan sesiapa sesat. Cuma cuba lihat bila isu Wahabi timbul...sedikit sebanyak ada bibit2 perpecahan berlaku di kalangan kita. Di situ kita mula meyatakan puak itu tak betul, puak ini tak betul dalam amalan,dan menyebabkan saling tuduh menuduh. Inilah bibit awal perpecahan umat.

    Cukuplah dengan amalan Ahlul Sunnah wal Jamaah dan Imam Shafiee yang dah berakar di seantero nusantara menjadi pegangan kita sejak sekian lama. Kita pon bukan pandai sangat. Takut lama2 kita yang konfius. Kita bergaduh sendiri.

    Tuan2 tak kira dari mana, wahhabi ke, Syiah ke, kami hormati pendirian tuan2. Cuma sekarang tuan2 berpijak di bumi ini, hormatilah kami. Jangan tuan2 terlalu ghairah memperjuangkan amalan tuan2 tanpa melihat sekeliling sehingga tuan lupa di mana bumi dipijak. Kita perlu fokus agenda lain yang lebih utama untuk umat Islam di Malaysia. Jangan pecah belahkan umat Islam di Malaysia.

    ReplyDelete