Ada mangsa banjir enggan berpindah kerana mahu tonton TV
SEGAMAT: Sikap acuh tak acuh serta mengambil mudah ancaman bahaya adalah antara kekangan yang dihadapi pasukan menyelamat ketika cuba memindahkan mangsa banjir di sini baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kemelah, Datuk Ayub Rahmat, berkata keadaan itu menyebabkan ada mangsa banjir yang lambat dipindahkan selain ada yang langsung enggan dibawa ke pusat pemindahan sementara.
"Ada di antara mereka tidak mahu keluar rumah kerana hendak menonton televisyen. Ada pula yang enggan keluar apabila kami tiba di rumah mereka.
"Mereka tidak sedar air telah naik sampai paras pinggang dan beranggapan masih selamat dan tidak perlu pindah," katanya yang ditemui baru-baru ini.
Selain itu, katanya, ada juga yang enggan memberikan kerjasama seperti memberikan butiran diri menyebabkan pihak berkuasa sukar memberikan bantuan sewajarnya.
Ayub berkata, pemikiran sedemikian harus diubah khususnya ketika berhadapan dengan bencana bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.
Bagaimanapun, katanya masih ada di antara mereka yang bukan saja mengalu-alukan bantuan pihak berkuasa, tetapi turut membantu mangsa banjir lain.
"Ada mangsa dari sebuah rumah di Taman Indah, Bukit Siput sangat gembira dengan kedatangan kami kerana hendak pergi ke pusat pemindahan bagi mendapatkan bantuan," katanya.
"Sikap itu harus dicontohi demi kepentingan bersama," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment