Senario paling burukpun pembangkan​g cuma dapat 18 kerusi. B​N kekal majoriti dua pertiga!

Boleh menang kah BN atau pembangkang, dapat berapa kerusi dan bolehkan BN kekalkan majoriti atau pembangkang dapat menafikan dua pertiga daripada 71 kerusi DUN dalam pilihanraya negeri Sarawak esok?

Bukan sahaja rakyat negeri itu mahupun di Semenanjung bertanya dan menunggu jawapan malah petugas media yang membuat liputan pilihanraya negeri ke 10 turut diaju soalan serupa bila bersua ahli politik sama ada dari komponen BN atau pakatan pembangkang.

Jelaslah, seperti diakui banyak pemimpin, pilihanraya Sarawak kali ini amat sengit dengan BN mahu melaksanakan transformasi manakala pembangkang mahu ubah politik di negeri itu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib yakin BN memenangi pilihanraya tersebut dan mengekalkan majoritI dua per tiga.

Sebelum DUN Sarawak dibubarkan 21 Mac, BN menguasai 63 kerusi manakala pembangkang cuma lapan.

Pada pilihanraya ini, BN terpaksa bertarung di semua kerusi kerana tiada yang dimenangi tanpa bertanding.

Malah dengan jumlah 213 calon mewakili komponen BN, pembangkang dan parti lain, sekaligus mencipta sejarah dalam pilihanraya Sarawak sejak 1970.

Ini termasuk 41 calon Bebas hingga ada kawasan ditandingi enam calon.

Berbalik perkara asal, selepas 10 hari berkempen, semua parti menyatakan mampu memenangi pilihanraya kali ini.

Pembangkang cuba gembar gembur bukan sahaja menambah bilangan kerusi tetapi dapat membentuk kerajaan negeri yang baru selepas tengah malam Ahad.

Dalam dua sidang media berasingan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Md Isa membuat congakkan itu berdasarkan kehadiran di ceramah-ceramah parti pembangkang dan kempen ke rumah-rumah menjangkui matlamat awal.

Anwar bagaimanapun menuduh BN akan menggunakan segala taktik kotor untuk mencuri pengundi termasuk menabur wang.

Beliau yang sedang dibelit isu video seks dan perbicaraan kes liwat turut mempertikaikan proses pilihanraya yang didakwa tidak bebas dan adil dengan BN kononnya menggunakan segala media dan jentera kerajaan bagi memastikan pembangkang tidak menawan Bumi Kenyalang.

Secara keseluruhan PKR bertanding 49 kerusi manakala DAP (15) dan PAS, Cuma lima sahaja.

DAP hanya bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina dengan harapan menang kesemua kerusi yang ditandingi.

Sementara itu, Nasaruddin yang juga pengarah pilihanraya PAS di Sarawak turut yakin kemampuan parti itu, DAP dan PKR boleh membuat kejutan.

Beliau tidak nampak isu babitkan Anwar mempengaruhi pengundi-pengundi kerana sejak berkempen rakyat lebih banyak menyuarakan isu tempatan dan ekonomi.

Bagaimanapun, ada pihak menjangkakan jika pembangkang gagal memperolehi tambahan kerusi yang besar, bermakna ianya dipengaruhi isu Anwar terutama soal video seks yang terus jadi tanda tanya siapa lelaki menyerupai beliau yang melanggan pelacur China itu.

Ditanya peluang PAS, Nasaruddin berkata, harapan calon parti itu di Beting Maro dan Sebuyau cerah bahkan tiga lagi calon yang bertanding di Tanjung Datu,Sadung dan Muara Tuang juga berpeluang menang.

Selain pembangkang, BN juga berdepan SNAP yang bertanding 26 kawasan dan turut bersaing dengan calon-calon Bebas.

SNAP dilihat selain untuk mempertahankan satu kerusi juga berperanan memecahkan undi di kawasan ditanding pembangkang.

Ini kerana SNAP menarik diri daripada bersekongkol dengan pembangkang setelah soal agihan kerusi yang lebih memihak kepada PKR sedangkan SNAP lebih lama bertapak di Sarawak.

Namun, ada pihak melihat peluang BN menang amat cerah walaupun isu Ketua Menteri Pehin Sri Taib Mahmud yang memerintah Sarawak terlalu lama dan beberapa isu berkaitan dijadikan modal kempen pembangkang.

Cuma teka teki sekarang berapa kerusi mampu dimenangi komponen BN.

BN sudah tentu bersandarkan kepada 35 kerusi yang ditandingi PBB, SUPP (19), PRS (9) dan SPDP sebanyak 8 kerusi.

Kerusi panas tentunya di DUN Balingian yang ditanding Taib dengan dua pencabarnya dan Bakalalan yang jadi tumpuan kerana Pengerusi PKR, Baru Bian yang telah ‘ dijual’ sebagai bakal dilantik sebagai Ketua Menteri yang baru jika pembangkang berjaya menawan Sarawak

Kemunculan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang bertanding enam kawasan buat kali pertama juga menarik tumpuan kerana pemimpin parti itu menyatakan antara tujuan mereka bertanding bagi mengelak rakyat Sarawak menyokong Anwar Ibrahim.

Disebalik semua ini, lebih 970,000 pengundi berhak menentukan kerajaan yang bakal mentadbir Sarawak seterusnya membawa manfaat kepada mereka.

Berdasarkan maklumat dari berbagai sumber Agendadaily berani meramalkan BN menang dan masih boleh mengekalkan majoriti dengan sekurang-kurangnya 53 kerusi manakala pembangkang atau parti lain hanya mampu memperolehi 18 kerusi sahaja.

Cuma jumlah majoriti undi yang dimenangi setiap calon BN dijangka merosot berbanding 2006.

Dalam pada itu, ikut pecahan DAP mungkin memenangi 13 kerusi, PKR (2), PAS (1) dan SNAP 2 kerusi.

Apapun, senario palik buruk, BN tetap kekal dengan sekurang-kurangnya 50 kerusi dan cukup bagi menguasai majoriti bagi memastikan kerajaan BN dapat mentadbir Sarawak dengan lebih selesa.

Jika ini jadi kenyataan,Najib mungkin tidak bermasalah untuk memikirkan pula bilakah tarikh sesuai untuk pilihanraya umum ke 13-Agenda Daily

1 comment:

  1. AS, is it true that now penang have rm2 billion dalm simpanan? since ade sorg hamba Allah mention dlm fb 1 sarawak, waktu BN dulu, simpann penang 0, n skrg rm2 billion aftr PR take over

    ReplyDelete