Ada cerita di sebalik bangunan ibupejabat PKR nak kena lelong!

Tidak pernah kita dengar ibu pejabat parti politik di negara ini hendak kena lelong, tapi lain halnya dengan PKR yang ditimpa berbagai masalah sejak akhir-akhir ini.

Terbaru yang menjadi bualan ramai ialah kisah bangunan empat tingkat yang menempatkan ibu pejabat PKR Merchant Square Tropicana,Petaling Jaya bakal dilelong bank pada 9 Jun.

Ini berikutan pemiliknya bangunan Ainb-Tech Sdn Bhd tidak bayar pinjaman kepada bank.

Sebenarnya kisah masalah ibupejabat PKR itu sudah lama kedengaran.

Khamis Bendahari PKR, William Leong, dilapor mengakui bangunan itu akan dilelong.

Katanya PKR hanya menyewa bangunan tersebut.

"Tuanpunya tidak bayar.Ini bukan pinjaman kami dan kami tidak berhutang dengan bank. Kami cuma penyewa. Saya tidak tahu mengapa mereka tidak bayar. Mungkin (pemiliknya) ada masalah perniagaan dan tidak dapat membayar pinjaman mereka,” katanya.

Betulkah bangunan itu disewa?

Bagaimanapun, satu sumber memberitahu Agendadaily ada cerita lain.

Sumber itu mempersoalkan benarkah PKR membayar sehingga RM20,000 sebulan sebagai bayaran sewa di bangunan tersebut dan jika benar bolehkan PKR membuktikannya.

"Ada media yang lapor PKR kata sewa bangunan ibu pejabatnya antara RM10,000 ribu ke RM20,000, tapi pernahkah dia bayar, dan bolehkan dia tunjuk resit bukti adanya pembayaran?" soalnya.

Beliau turut mempersoalkan apakah wujud PERJANJIAN SEWA antara PKR dan pemilik bangunan itu.

"Bendahari Agung PKR kata sewa bangunan antara RM10,000 ke RM20,000, itu perbezaan jumlah yang besar, sekali ganda, jadi atas dasar apa perbezaan itu wujud, apakah terma dalam perjanjian sewa mengatakan sewa berubah-ubah berdasarkan keperluan bulanan?" soalnya hairan.

Tambahnya, tanda tanya lain adalah, jika wujud perjanjian sewa, berapa lama tempoh PKR menyewa di situ.

"Kebiasaannya apabila kita menyewa, kita buat perjanjian yang menggariskan berapa sewa perlu dibayar setiap bulan, dan dalam tempoh berapa lama, apakah perkara itu wujud?"soalnya.

Agendadaily difahamkan, perbelanjaan untuk mengubahsuai bangunan tersebut termasuk hiasan dalaman, peralatan pejabat dan sistem keselamatan melebihi RM3 juta.

Bangunan empat tingkat dengan lapan unit itu menjadi ibu pejabat PKR itu mula diduduki sekitar Jun 2008, selepas PKR menang besar dalam pilihanraya umum ke 12.

Itu merupakan ibu pejabat keempat PKR sejak ditubuhkan pada 1999, pertama di Phileo Damansara sehingga 2002, kemudian berpindah ke Sekysen 13 Shah Alam sehingga 2005, kemudian berpindah lagi ke Brickfields hingga akhirnya pindah ke bangunan yang didudukinya sekarang.

Difahamkan notis mengenai lelongan bangunan tersebut sudah dipasang di sekitar Merchant Square. Harga antara satu unit berbeza-beza tapi dipercayai antara RM460,000 hingga RM 1 juta setiap satu. -AgendaDaily

No comments:

Post a Comment