Edisi Jumaat! Kisah Benar: Kalau setiap bulan itu Ramadan

Aku bawakan kisah ni untuk dikongsi bersama para pembaca sempena kita nak menyambut Ramdhan yang bakal menjelma tak lama lagi.

Ketika kami berjumpa setahun lalu, Sahak, mentor yang membimbing saya dua tiga hari membuat liputan berita di awal 70-an, ketara macam dahulu juga; lawa, ceria, kalau cakap susah berhenti dan suka berjenaka.

Walaupun sedikit gempal, beliau nampak lebih muda daripada umurnya yang sudah masuk 60; dan dengan ketampanan dan suara yang lunak hasil anugerah Tuhan itu, beliau masih mendapat undangan ke sana sini menjadi MC dan yang berkaitan perhubungan awam.

Kami berbual hampir dua jam, bertanya khabar mengenai kesihatan, perkembangan hidup masing-masing, ketawa mengingati kisah lama, cerita lucu tentang rakan-rakan di pejabat, gelagat bos-bos yang terkenal dengan ayat-ayat tidak ditapis dan apa sahaja yang kami ingat. Jelas Sahak masih sihat dan ceria.

Minggu lalu, saya terima SMS kawan lama saya itu.

“Salam, perkembangan terbaharu mengenai rawatan barah hidung saya. Saya berjumpa pakar ENT (telinga, hidung dan kerongkong) Sabtu lalu. Alhamdulillah, semuanya beres. Cuma saya perlu jumpa doktor setiap tiga bulan untuk pemantauan.

Kini saya perlu naikkan berat badan yang sudah turun daripada 85 kg kepada 60 kg disebabkan kesan rawatan. Saya telah jalani enam siri chemotherapy dan 35 pusingan radiotheraphy hingga April lalu. Saya ingin ambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada semua atas mesej anda yang positif, doa, ziarah yang semuanya itu memberi saya dorongan hadapi cabaran.

Saya sudah menyiapkan diri bagi kembali ke padang golf. Walaupun muscles saya sudah tiada, ‘the swing’ (ayunannya) masih ada lagi!.”

Insya-Allah Sahak, saya berdoa semoga anda sembuh seperti sediakala dan saya berazam akan menziarahi anda sebelum bermulanya puasa lima hari lagi. Saya juga hendak ziarah Salim, kawan pejabat yang tinggal sebilik masa bujang dahulu.

Ketika berjumpa dengannya kira-kira lapan bulan lalu, Salim, macam juga Sahak, suka bercerita. Tubuhnya gempal sedikit dari dahulu dan nampak sihat. Kalau bercakap, tanpa perlu mengguna pembesar suara.Beliau jenis orang yang bercakap sama banyak dengan ketawa, suka berterus-terang dan sedia menolong orang bila-bila masa.

Salim juga SMS pada saya baru-baru ini.

“Saya menjalani rawatan cuci darah tiga kali seminggu,” kata Salim, ringkas. Saya balas SMSnya. Cuba menyelami lebih mendalam masalah kesihatannya. Beliau tidak mahu menceritakan lebih mengenai perkara itu. Saya tarik nafas panjang dan berdoa moga sahabat saya itu sembuh.

Sebelum mula puasa ini. saya juga berazam menziarahi jiran saya, Pak Hamid, seorang pesara agensi berkaitan ladang.

Saya masih ingat apa yang beliau kata pada saya selepas sembahyang Aidilfitri pada 1999. “Entah sempat atau tidak saya sembahyang raya tahun depan,” kata Pak Hamid, ketika saya pegang lengannya untuk turun tangga surau masa itu.

Beliau hadapi masalah lutut dan perlu guna tongkat dan duduk atas kerusi ketika solat. Namun beliau kerap ke surau dan lepas solat subuh, beliau, saya dan tiga empat orang kawan lain, kerap bersama ke gerai roti canai.

Kini - 12 tahun kemudian - Pak Hamid, masih ada. Allah mahu panjangkan umurnya. Beliau kini berusia 86 tahun. Cuma, beliau sudah tidak mampu memanjat tangga surau lagi; Masalah lututnya semakin tidak mengizinkan beliau berjalan. Saya tetap doakan untuk kesihatannya, moga kami dapat beraya bersama hujung bulan hadapan dan seterusnya. Insya-Allah.

Balik kepada kita. Puasa hanya lima hari lagi. Apa azam kita kali ini? Berjanji pada diri sendiri tidak mahu terlepas solat terawih walaupun sekali? Hendak khatam al-Quran sebelum malam lailalatul qadar? Mahu banyakkan sedekah; kurangkan dosa penglihatan, pendengaran dan pertuturan. Atau hendak berhenti hisab rokok? Langsingkan badan?

Atau jaga tutur kata dan perasaan supaya kita tidak mengamalkan tabiat menuduh, menghina, mengutuk, mencari kesalahan orang, buruk sangka dan memfitnah?

Sabda Rasulullah SAW: “Telah datang kepada mu Ramadan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa kamu, memakbulkan doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperoleh kebaikan yang besar dan berbangga mengenai mu di hadapan malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini.

Hipotetikal; alangkah baiknya kalau setiap bulan itu Ramadan! Tapi Allah lebih mengetahui.-SH-

No comments:

Post a Comment