Komen Tok Non Terhadap Demo Anti Bersih Di Georgetown Semalam

“Kalau UMNO yang buat demonstrasi, jumlahnya bukan 1,000 orang seperti semalam tetapi jumlahnya akan jadi berpuluh ribu orang,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman

Sambil menafikan penglibatan UMNO dalam demonstrasi di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini semalam beliau memberitahu UMNO negeri mempunyai keahlian serami 150,000 orang.

Justeru tegasnya UMNO negeri tidak pernah mengarahkan demonstrasi berkenaan diadakan.

“Saya mendapat banyak panggilan daripada rakan-rakan semalam berhubung perkara ini. Ingin saya maklumkan bahawa UMNO negeri langsung tidak terlibat dalam demonstrasi di Komtar atau mana-mana tempat,” katanya di sini hari ini.

Semalam 1,500 orang termasuk anggota pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan tunjuk perasaan anti Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Mereka berarak hampir sejam dari Masjid Melayu Lebuh Aceh ke Komtar.

Bagaimanapun Zainal Abidin berkata terdapat anggota parti itu yang menyertai pelbagai NGO di negeri ini.

“Memandangkan parti ini rapat dengan rakyat, banyak anggota kita terlibat dengan NGO. Mereka pergi atas nama NGO sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata sebagai parti yang bertanggungjawab, UMNO tidak akan mengadakan demonstrasi seumpama itu.

“Saya mendapat banyak rungutan daripada masyarakat Pulau Pinang bahawa keadaan lalu lintas sesak teruk sehingga menyebabkan aktiviti mereka terganggu.

“Sama juga yang akan berlaku pada 9 Julai (perhimpunan haram), kalau mereka buat juga demonstrasi, lalu lintas akan sesak dan kita tak dapat menjalankan kerja seperti biasa,” katanya.
Katanya UMNO Pulau Pinang berharap perhimpunan haram pada 9 Julai ini tidak diteruskan kerana ia akan mencetuskan lebih banyak demonstrasi daripada pihak yang tidak menyokong perhimpunan itu.

“Elok jangan kita adakan benda yang boleh menggugat keselamatan negara. Bolehkah kita mengawal keadaan bila semua orang nak mengadakan demonstrasi,” ujarnya.

1 comment: