PAS Setuju Gugurkan Hudud?

Meskipun arahan dikeluarkan untuk semua pemimpin Pakatan Rakyat menutup mulut mengenai Hudud sehingga mesyuarat mengenainya diadakan namun ramai yang menjangkakan yang PAS akan menggugurkan saja Hudud memandangkan ianya bertentangan dengan aspirasi Pakatan Rakyat.

Setakat ini, Presiden PAS sendiri tidak membuat sebarang kenyataan mengenai isu ini kemungkinan besar kerana buntu. Jelas, PAS, DAP dan PKR kini tersepit dan seperti biasa menyalahkan UMNO kononnya isu hudud ini ditimbulkan UMNO untuk memerangkap mereka.

Umum tahu yang mula-mula membangkitkan semula isu hudud bukanlah UMNO, bukan Najib, dan bukan juga Tun Dr. Mahathir tetapi Mursyidul Am PAS sendiri, iaitu Nik Aziz setelah terdedah bahawa rakyat Kelantan yang paling banyak menghidap HIV/AIDS.

Lalu, bagaimana pula jika Nik Aziz yang cakap, UMNO pula yang dituduh memerangkap? Takkanlah UMNO yang mengupah Nik Aziz untuk memerangkap Pakatan Rakyat? Dan takkanlah UMNO pula yang menyuntik rakyat Kelantan dengan HIV/AIDS?

Lagipun Pakatan Rakyat tidak seharusnya boleh diperangkap atau terperangkap dalam isu seperti ini jika ketiga-tiga parti benar-benar mempunyai hala tuju, prinsip dan manifesto yang jelas, pasti dan utuh.

Perbalahan yang berlaku hanya membuktikan lagi bahawa kesepakatan Pakatan Rakyat sebenarnya amat rapuh malah mungkin tidak wujud sama sekali melainkan hanya lakonan di hadapan rakyat semata-mata.

PAS sebenarnya sedar, walaupun Nik Aziz mungkin tidak sedar, bahawa untuk melaksanakan hudud bukanlah mudah. Kalaupun Kelantan dibenarkan untuk menggunapakai undang-undang hudud, mereka perlu terlebih dahulu merangkanya dan menggubal undang-undang negeri dengan terperinci. Mereka tidak boleh terus melaksanakannya dengan sekelip mata dan di masa yang sama mengharapkan agar statistik jumlah penghidap HIV/AIDS di Kelantan akan menjunam dalam sekelip mata juga.

Undang-undang hudud jika tidak diperincikan secara halus akan membawa kepada kezaliman.

Dengan rekod mahkamah Kelantan yang sanggup melepaskan Mat Sabu dari tuduhan khalwat walaupun bukti begitu jelas, bagaimanakah kita dapat meyakinkan diri yang pegawai-pegawai agama yang ada dapat berlaku adil dalam kes-kes lain?

Bagaimana kita memastikan yang mahkamah hudud Kelantan akan berlaku adil kepada semua termasuk pemimpin-pemimpin PAS yang berzina dengan isteri rakan mereka? Bagaimana kita dapat diyakinkan bahawa jika pemimpin PAS yang terlibat dalam kesalahan, maka mereka tidak akan diampunkan begitu saja oleh Pendita Nik Aziz sepertimana yang dilaporkan berlaku dalam kes ADUN Selinsing?

Lebih membimbangkan lagi ialah hakikat bahawa Kelantan menjuarai kes-kes rogol, liwat, cabul dan sebagainya yang berkaitan dengan seks. Memandangkan tidak ada satu pun kes-kes ini yang mempunyai empat saksi dari kalangan manusia waras, lagi yang suci dari dosa, yang dengan sengajanya menunggu melihat sehingga jenayah tersebut berlaku sebelum mencekup pesalah, maka bagaimanakah keadilan dapat ditegakkan bagi pihak mangsa?

Bukankah mengikut hudud, jika seorang wanita yang belum berkahwin dirogol dan kemudiannya mengandung, akan berhadapan dengan tuduhan zina jika gagal mengemukakan empat saksi dari kalangan manusia suci dan waras?

Jika perkara ini tidak digariskan dengan terperinci, bayangkan entah berapa ramai mangsa rogol yang mengandung akan direjam kerana dituduh berzina? Entah berapa ramai perogol yang akan terlepas dan bermaharajalela?

Atau apakah ini yang sebenarnya Ustaz-ustaz PAS inginkan iaitu agar mereka dapat melampiaskan nafsu di mana saja kerana tidak mungkin tertangkap selagi tiada empat saksi?

Namun, apa yang lebih memusykilkan lagi kita semua ialah hakikat bahawa Presiden PAS sendiri, iaitu Hadi Awang telah menyatakan bahawa hudud bukanlah ciri-ciri utama negara Islam tetapi hanya mewakili 0.001% dari kenegaraan Islam tatkala ditanya mengenainya sewaktu menerajui Terengganu satu ketika dahulu.

Manakala di dalam Muktamar yang lalu pula, PAS telah pun mengumumkan penukaran hala tuju daripada Negara Islam kepada Negara Kebajikan yang mana undang-undang hudud pastinya tidak lagi akan menjadi persoalan.

Nampaknya, PAS sebenarnya telah diperangkap oleh Nik Aziz secara tak sengaja akibat terlalu tertekan dan kalut untuk menepis hakikat kerosakan moral rakyat Kelantan yang jauh lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain.

Sebenarnya PAS tidak perlu mengarahkan semua pemimpin PR menutup mulut dalam isu ini, lebih wajar jika mereka menutup mulut Nik Aziz seorang sejak dari dulu lagi.

Jika kita percaya dengan hukum karma, maka apa yang berlaku kepada Nik Aziz bolehlah dikatakan sebagai ‘karma’. Ertinya, Nik Aziz telah terkena kutukan sendiri iaitu segala apa yang ditohmah dan dihinanya terhadap orang lain terutamanya Tun Dr. Mahathir kini sedang menimpa dirinya sendiri. Tindakan PAS terus ‘membela’ Nik Aziz umpama ‘membela’ hantu raya yang akhirnya akan tetap memakan tuannya. Mungkin sebab itu Nik Aziz hari ini menyatakan yang DAP umpama takut melihat hantu.

Kita yakin, dalam mesyuarat esok, PAS tetap akan akur kepada ‘kehendak’ politik Pakatan Rakyat Mesyuarat berkenaan hudud esok hanyalah untuk mencari alasan yang terbaik untuk tidak melaksanakan hudud dan bukannya untuk berbincang mengenai akan atau tidak akan melaksanakan hudud.

Namun, walau apapun keputusan mesyuarat tersebut, yang pastinya agama tetap akan dipermainkan dan UMNO tetap akan dipersalahkan. sumber

1 comment:

  1. PAS dah tersepit, nak kata ya tak boleh, nak kata tak pun tak berani!!

    Kerajaan nak rampas tanah Melayu Kampong Bharu? Baca di sini!!

    http://apakecoh2.blogspot.com/

    ReplyDelete