Bekas wakil rakyat DAP kekal dipenjara 10 tahun

RASAH 23 Dis. – Mahkamah Tinggi Seremban dekat sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun ke atas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP, M. Kuppusamy atas tuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah hampir RM70,000, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Zulkifli Bakar memutuskan demikian selepas menolak rayuan Kuppusamy, 61, yang juga seorang peguam untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen.

Kuppusamy disabitkan bersalah atas tuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang tuntutan insurans kemalangan daripada Syarikat Tahan Insurance Malaysia Bhd. sebanyak RM66,647.44 atas nama Zainal Abdul Majid, 65, yang telah diamanahkan kepadanya.

Dia melakukan kesalahan itu di CIMB Bank, Wisma Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan di sini antara 29 Oktober dan 6 Disember 2005.

Tertuduh yang pernah dipilih sebagai ADUN Rasah dari 1978 hingga 1982 dan juga ADUN Jimah selama satu penggal pada 1986 didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan atau kedua-duanya.

No comments:

Post a Comment