Suatu Entry Untuk DIhayati Oleh Adam & Rakan-Rakan


AUKU – AKTA UNIVERSITI DAN KOLEJ UNIVERSITI (Kenyataan Oleh Tun Mahathir)

1. Saya mengaku yang sayalah orangnya yang telah perkenalkan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) semasa saya menjadi Menteri Pelajaran.

2. Walaupun kita sudah merdeka lebih 15 tahun ketika itu tetapi bilangan kelulusan daripada universiti tidak ramai, terutamanya di kalangan orang Melayu. Jumlah jurutera, doktor perubatan, arkitek dan lain-lain ahli profesional amat kecil dan menyedihkan. Sebaliknya maju mundurnya bangsa dan negara bergantung kepada ketinggian jumlah rakyat yang berilmu. Tidaklah sihat bagi Malaysia jika dari rakyat berbilang kaumnya jumlah Melayu dan bumiputera lain yang berkelulusan universiti sangat berkurangan. Setelah Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan maka jumlah penuntut Melayu di tiga buah universiti tempatan sudah bertambah dengan banyaknya. Tetapi kemasukan sahaja tidak akan dapat menambah jumlah Melayu yang berpelajaran tinggi jika ramai yang diterima masuk tidak lulus dan tidak berjaya memperolehi ijazah.

3. Kita terpaksa menerima hakikat bahawa ramai penuntut Melayu dan bumiputra lain yang diterima masuk universiti memiliki kelulusan yang kurang baik daripada penuntut bukan Melayu. Samada mereka mendapat ijazah universiti atau tidak bergantung kepada kegigihan mereka menumpu sepenuh masa untuk menguasai ilmu melalui proses-proses pembelajaran ala universiti.

4. Kita dapati penuntut Melayu amat berminat dengan kegiatan politik. Mereka suka melibatkan diri dengan demontrasi jalanan dan lain-lain aktiviti politik yang memakan masa mereka di universiti. Dengan ini tidak dapat tidak tumpuan mereka kepada penguasaan ilmu tentu kurang. Amatlah merugikan mereka dan masyarakat Melayu jika mereka gagal.

5. Apakah kerana mereka tidak boleh berdemonstrasi dan lain-lain maka mereka akan kurang berpengetahuan dalam bidang politik; mereka akan jadi robot? Tidak juga. Mereka boleh ada forum perbahasan dalaman atau antara universiti, dan mereka boleh mendapat pakar yang tidak punyai kepentingan politik parti untuk memberi syarahan dan sessi soal jawab. Tanpa terlibat secara langsung dengan aktiviti politik berpartian, mereka masih boleh menguasai dan memahami selok belok politik.

6. Kegiatan seperti ini tidak akan memisah mereka daripada menumpukan masa yang mencukupi untuk menguasai ilmu yang menjadi sebab utama mereka berada di universiti.

7. Harus diingat bahawa pembiayaan bagi tiap-tiap penuntut samada yang dapat biasiswa atau tidak datang daripada duit rakyat. Duit itu disalur dengan rela hati oleh mereka kerana kepentingan penuntut dan ilmu yang dituntut oleh mereka, yang akan menjamin masa depan yang cerah bagi mereka. Rakyat yang sanggup wang ini dibelanjakan untuk penuntut sedia berkorban jika korban mereka mendatangkan hasil yang dikehendaki. Tentulah mereka akan kecewa jika wang mereka disalahguna, dihabiskan untuk kegiatan yang lain. Negara juga akan rugi kerana tidak dapat warga yang berilmu. Dan penuntut itu sendiri akan rugi kerana masa depan mungkin tidak cerah seperti yang diharapkan.

8. Pengorbanan yang kita pohon daripada penuntut kita hanya sedikit sahaja. Masa untuk menuntut tidak begitu lama – hanya tiga atau empat tahun sahaja. Setelah lulus tumpukanlah sepenuh masa untuk kegiatan politik atau lain-lain jika ini menjadi minat utama. Pada masa itu kita tidak habiskan wang orang lain. Kita habiskan duit dari titik peluh kita sendiri.

9. Saya percaya orang yang bertanggungjawab dan tahu kenang budi seperti ini akan menjadi manusia dan pemimpin politik yang lebih baik.

10. Tetapi jika kita sanggup habiskan duit orang, kita hampakan harapan orang, sebaliknya kita tidak rela mengguna duit dan masa kita sendiri untuk sesuatu yang kita gemar, maka tidaklah kita dapat berkata yang kita begitu prihatin dan rasa bertanggungjawab terhadap masalah negara kita.

11. Penuntut universiti tentu tidak suka dengar pendapat saya ini. Yang amat marah kerana AUKU ialah penuntut Melayu. Saya rela dimarah oleh siapa sahaja tetapi saya tidak berniat buruk semasa memperkenalkan AUKU. Bagi saya peningkatan kebolehan bangsa saya adalah lebih penting dan utama daripada apa kecaman terhadap diri saya.

12. Jika hari ini penuntut lebih dewasa dan bertanggungjawab batalkan sahaja AUKU.

2 comments:

  1. haa...amacam. boleh terima tak kenapa auku tu masih relevan? knp kaum lain tak suka wat demo berbanding melayu? sebab budaya ilmu utk melahirkan ilmuan lebih utama berbanding menyibuk soal2 politik yg kurang sgt perkaitannya. reti tak melayu2 semua? dh cukup kuat ke daya saing dari segi ilmu & ekonomi dgn kaum lain? dorang dh mula boikot gardenia & petronas tau tak!!

    ReplyDelete
  2. Tabik Tun M... memang pendapat yg kritis tp mudah difahami...

    Ni boleh buat telenovela satu family...

    Nurul sekadar boneka Azmin? Baca di sini!!

    http://apakecoh2.blogspot.com/

    ReplyDelete