Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
menggesa pemimpin-pemimpin politik supaya berhenti daripada menggunakan
agama sebagai “senjata politik” kerana ia dilihat merendahkan martabat
Islam dan boleh mengelirukan orang ramai.
Beliau yang juga felo Pusat Pengajian Islam Oxford berkata, langkah itu
perlu diberi perhatian memandangkan sesetengah pemimpin politik dilihat
semakin mengeksploitasikan agama sebagai satu landasan untuk meraih
simpati semata-mata demi kepentingan peribadi masing-masing.
“Memisahkan agama daripada politik mungkin dianggap negatif, tetapi
kalau agama sering digunakan untuk tujuan politik yang menjurus kepada
penyalahgunaan itu, ia lebih buruk.
“Bahaya menggunakan agama Islam sebagai senjata untuk politik, untuk
menegakkan yang salah dan untuk kepentingan kuasa semata-mata," kata
beliau ketika berucap pada majlis Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan
Penulis Maya Kebangsaan 2012 di sini, hari ini.
Dilihat merujuk kepada perkembangan arena politik tempatan sejak
kebelakangan khususnya selepas Pilihan Raya Umum 2008, beliau yang
lazimnya mengulas dan menganalisis perkembangan politik semasa berkata,
tindakan menjadikan agama sebagai mainan politik juga menyebabkan fatwa
yang diputuskan tidak konsisten dan tidak ada keseragaman.
“Fatwa yang ada kejap boleh kejap tidak boleh, kemudian ada saja fatwa
baru yang keluarkan, baik dari Barisan Nasional dan juga Pas... fatwa
politik sangat bahaya, agama perlu dibebaskan dari mainan politik," kata
pensyarah Universiti Sains Malaysia ini.
Dalam ucapannya, Asri turut menyentuh sikap pemimpin-pemimpin politik
yang menggunakan tulisan maya di laman sesawang sendiri untuk
menyebarkan fitnah bagi menzalimi mereka yang tidak berdosa.
Sehubungan itu tegas beliau, pemimpin-pemimpin politik sepatutnya
bersaing dana arena politik dengan cara yang sihat kerana ia melibatkan
soal maruah seseorang.
“Apa yang ditulis dan disebarkan bukannya mahu bersaing idea yang baik,
tetapi bersaing 'melondehkan' pihak lain. (Jadi) bagaimana nak
berkembang perkara yang baik?
“Kita boleh nak kritik, tetapi biar berlapik, ada nilai, akhlak dan
adil… bukan fitnah dan memburukkan orang lain," katanya tanpa merujuk
mana-mana kes secara khusus.
Asri juga mengulas langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
menghadiri majlis sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves pada 7
Februari lalu sambil menyifatkannya sebagai tidak salah kerana itu
adalah tuntutan tugas selaku seorang pemimpin kerajaan dan negara.
“Masuk ke kuil atas rasa tugas seperti polis tidak apa, macam itulah
juga pemimpin politik, beliau tidak menyambut perayaan itu tetapi hadir
sebagai seorang Muslim dan pemerintah.
“Beliau hadir untuk berhujah bukannya nak menyokong… beliau pemimpin
rakyat, takkan nak buat tak peduli kepada rakyatnya yang berbilang
kaum," katanya.
Asri juga meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menetapkan
garis panduan berkenaan kesesuaian umat Islam melibatkan diri dalam
majlis agama lain supaya tidak berlaku kekeliruan.-SH
yeah betul islam tak patut digunakan untuk tujuan politik, islam adalah agama untuk diamalkan oleh setiap manusia tak kira apa politiknya dan bangsanya didalam kehidupan sebelum datangnya hari yang tidak ada jual beli...
ReplyDelete