Sah! Aaron Aziz Kini Penduduk Tetap Malaysia. Zed Zaidi Makan Hati??

AARON dan isterinya, Diyana Halik kini berstatus Pemastautin Tetap Malaysia.  
POPULARITI ada habuan kepada pemiliknya. Baik atau buruk, populariti menjadikan seseorang artis itu berada di satu tempat istimewa berbanding artis yang kurang popular. Seperti yang berlaku kepada Aaron Aziz, 36, sejak memenangi hati rakyat Malaysia sehingga bergelar Artis Paling Popular 2011, apa sahaja cerita terbaharu dirinya akan mendapat perhatian ramai.

Isu artis luar yang dibangkit oleh Zed Zaidi, kini Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) serta status permohonan Taraf Penduduk Tetap (PR) selama ini menjadi dua cerita yang saling berkait dengan Aaron. Namun, perkara itu barangkali bukanlah lagi satu beban yang merunsingkan buat Aaron. Persoalan tentang status PR Aaron yang selama ini dibangkitkan bukan lagi satu tanda tanya.

Pertengahan minggu lepas, satu sumber Sensasi Bintang membongkar status permohonan PR oleh Aaron yang didakwa telah mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Turut dilampirkan dalam e-mel tersebut ialah salinan kad MyPR milik isteri Aaron, Diyana Halik. Jumaat lalu, Sensasi Bintang berjaya menghubungi Aaron Aziz untuk mendapatkan pengesahan.

Bercakap kepada Sensasi Bintang, kata Aaron mengesahkan dia dan isterinya kini pemegang MyPR.
"Saya minta maaf kepada semua pihak kerana dari awal lagi tidak menghebahkan kelulusan permohonan PR saya kepada umum. Saya fikir, perkara itu tidak perlu dikecoh-kecohkan. Tetapi, apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengirimkan salinan dokumen sulit saya itu kepada umum, barulah saya rasa perkara itu perlu dijelaskan.

"Saya sudah memegang kad MyPR sejak awal Jun. Saya harap pengakuan saya ini akan menjelaskan segala persoalan semua pihak," akui Aaron setelah meneliti semula gambar kiriman e-mel sebelum memberikan keterangan lanjut.

Ditanya mengenai proses permohonan PR olehnya yang cepat mendapat kelulusan kerajaan Malaysia, Aaron menyerahkan perkara itu kepada pihak KDN untuk memberikan penjelasan.
"Saya tidak rasa cepat atau lambat kelulusan permohonan itu akan menjadi satu isu. Saya tiada hak untuk bercakap tentang rasional atau alasan bagaimana permohonan saya diluluskan. Mungkin saya telah menepati syarat yang ditetapkan," katanya.

Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz turut meluahkan rasa syukur kerana berbekalkan bakat seni yang dimiliki, dia kini boleh bekerja dan menjadi sebahagian daripada penduduk Malaysia. Dia berterima kasih kepada semua pihak atas rezeki dan penerimaan semua terhadap kehadirannya menjadi salah seorang pelakon di Malaysia.

Sebagai rekod, Aaron sebelum ini mendakwa Malaysia dekat di hatinya. Itulah antara sebab mengapa pelakon yang hangat menerusi filem KL Gangster itu memohon PR. Pelakon yang berasal dari Singapura itu memohon taraf penduduk tetap pada Ogos 2011.

Populariti serta aura Aaron semakin mendapat perhatian usai menjulang anugerah tertinggi dalam majlis Anugerah Bintang Popular 2011, April lalu, nama aktor sasa Aaron hangat dengan isu PR yang dipohonnya. Isu itu menjadi kecoh apabila kemenangan Aaron dipertikaikan Zed Zaidi yang ketika itu bercakap atas kerusi Timbalan Presiden Seniman itu meluahkan rasa kurang senangnya kerana pemenang anugerah berdasarkan populariti itu dimenangi pelakon warga Singapura.

Isu itu berlarutan sehingga memaksa Aaron bercakap soal status dan warganegara sehingga terkeluar berita bahawa permohonan PR olehnya sudah mendapat kelulusan dan sedang menunggu waktu untuk diambil daripada KDN. Namun, selepas berita itu disebarkan oleh portal Gua.com, Aaron dalam satu kenyataan menafikan pengakuannya tentang kelulusan status PR berkenaan.

"Sebelum ini orang pernah menyebarkan salinan kad pengenalan palsu saya. Kad itu yang sengaja dicipta untuk memburuk-burukkan saya. Sekarang salinan MyPR saya pula disebarkan. Saya rasa ini kerja orang dalam dan saya tidak tahu apa niatnya menjadi penyebar kepada dokumen sulit pihak lain," kata Aaron sedikit kesal tetapi berterima kasih kepada Kosmo!

Akhiri Aaron: "Saya juga mengucapkan terima kasih kepada anda dan Kosmo! disebabkan berusaha mendapatkan pengesahan daripada saya sendiri dan tidak menyiarkan gambar kiriman e-mel tersebut tanpa kebenaran daripada saya."-Kosmo

No comments:

Post a Comment