Sejak aku celik mata sampai sekarang akt tak pernah pulak terlintas nak
tanya soalan seperti di atas. Tak tertanya pulak aku kenapa 31hb Ogos
1957? apasal tak boleh tunggu satu hari lagi ke 1hb Sept 1957, kan
mudah.
Tak sangka pulak bila aku baca buku tulisan Subky Latif aku terjumpa
jawapan yang aku tak pernah tanya. Subky dalam buku Anak Apak
mencatitkan memoir kehidupannya sebagai seorang wartawan bermula dengan
zaman kanak-kanaknya sehinggalah dia ditawarkan sebagai wartawan Utusan
Melayu.
Dalam buku tersebut Subky menceritakan pengalamannya menyambut laungan
merdeka pada tahun 1957. Di situ juga terbongkar kenapa Tunku memilih
tarikh 31 ogos sebagai tarikh merdeka.
Menurt Subky, Tunku kenal baik dengan Ulamak serta Mufti Pulau Pinang
yang juga seorang penyokong kuat Umno, Sheikh Haji Abdullah Fahim.
Adalah diberitakan Tunku meminta nasihat ulama tersebut yang juga
merupakan seorang pakar falak bagi menentukan hari yang terbaik bagi
diistiharkan kemerdekaan.
Maka berkiralah Sheikh Haji Abdullah Fahim lalu menemui tarikh di mana
semua planet penting di alam raya ini berada dalam kedudukan sebaris di
angkasa Tanah Melayu. Kedudukan barisan planet itu juga berada
betul-betul diatas angkasa raya langit tinggi Kuala Lumpur.
Tarikh keramat tersebut adalah pada 31 hb Ogos 1957. Ia merupakan
fenomena yang teramat jarang berlaku. Menurut ulama itu lagi ia hanya
akan berlaku dalam masa beberapa minit sekitar tengah malam masuknya
31hb Ogos 1957.
Sheikh Abdullah Fahim juga menyatakan dengan mengambil tarikh dan waktu
tersebut, maka ia dapat memberikan pangaruh kekuatan tenaga yang kuat.
Adalah diharapkan Tanah Melayu akan turut mendapat semangat dan kekuatan
tenaga yang mencukupi bagi membangunkan tanah air yang telah merdeka
itu.
Apa lagi, Tunku bersetuju sungguh dengan tarikh tersebut ditambah lagi
dengan adanya faktor kekuatan tenaga yang bakal terjadi pada masa itu
membuatkan tarikh itu amat penting dan segala perancangan perlu
dilaksanakan bagi membolehkan bendera Union Jack diturunkan daripada
tiang bendera digantikan dengan bendera Malaya.
Upacara penurunan Union Jack dan menaikkan bendera Malaya akan berlaku
serentak dengan berbarisnya planet-planet penting di cakerawala atas
langit Kuala Lumpur. Segalanya bakal berlaku di padang Kelab Selangor
dan jam besar di Bangunan Sultan Abdul Samad bakal berbunyi menandakan
masuknya tarikh 31 hab menggantikan 30 hb ogos 1957.
Tunku akan menyaksikan kesemua itu dan beliau dijadualkan akan berarak
dengan diiringi puluhan motosikal dari rumah kediamannya (sekarang
merupakan Bangunan Wisma Putra bersebelahan dengan Dewan Bahasa Dan
Pustaka) menuju ke Padang Kelab Selangor.
Tapi apa nak buat kita hanya boleh merancang Tuhanlah jua yang
menentukan segalanya. Malang sungguh Tunku apabila rombongan
perarakannya tersekat dan terkantoi akibat kesesakan lalulintas yang
dibanjiri oleh ribuan manusia yang memenuhi jalanraya. Polis yang pada
waktu itu masih belum lagi dibawah kawalan Tunku tidak dapat mengawal
keadaan. Maka terlambatlah Tunku sampai jauh daripada waktu sepatutnya.
Untuk mempastikan segalanya berjalan seperti dirancang. Jam besar perlu
menunggu kehadiran Tunku sebelum berdetik dan berbunyi menunjukkan pukul
12. Maka berpeluhlah para petugas Jabatan Ukur yang merupakan pengawal
jam besar tersebut pada waktu itu menahan pergerakan jam selagi Tunku
belum tiba.
Hari keramat itu ditambah dengan ramainya manusia yang berkumpul
membuatkan semua tidak merasakan bahawa jam tidak bergerak. Mungkin
begitu agaknya bila manusia dalam penantian saat-saat penting dalam
sejarah hidupnya. Dan akhirnya tibalah Tunku dan berbetik dan
berbunyilah jam besar menunjukkan pukul 12 tengah malam.
Walau bagaimana pun planet di atas angkasa Kuala Lumpur tidak menunggu
Tunku, mereka telah lama keluar dari barisannya meneruskan tugas
masing-masing sebagaimana yang diperintahkan Tuhan. Punah harapan Tunku
untuk menumpang tenaga fenomena barisan planet tersebut pada malam itu.
Begitulah lebih kurang ceritanya ! -Sumber
Alhamdulillah.... Malaysia terus maju jaya di bawah pentadbiram Perikatan/BN kini.
ReplyDelete