LGE: Weld Quay Diutamakan, Batu Uban Ditongsampahkan

BATU UBAN – Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang (Pajim) mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri yang seolah-olah dilihat berdolak-dalik mengenai isu status warisan di Kampung Batu Uban.

Presidennya, Yusof Mohamad berkata, beliau hairan bagaimana sebuah perkampungan tertua di negeri ini dianaktirikan sedangkan kawasan perkampungan di Weld Quay dijaga dengan baik.

“Kami bukan mahu main isu perkauman, tetapi dari segi logiknya Batu Uban adalah perkampungan terawal di negeri ini dan dibuka sebelum kedatangan Francis Light.“Weld Quay kini dijaga dengan begitu baik dan cantik sedangkan itu bukan penempatan pertama,” katanya.

Gara-gara tidak berpuas hati, Pajim sendiri menghantar surat kepada Kerajaan Negeri mengenai hal berkenaan.Melalui surat berkenaan Pajim mempersoalkan sama ada Ketua Menteri, Lim Guan Eng berusaha untuk mendapatkan status Warisan Kampung Melayu di negeri ini sepanjang empat tahun memerintah.

Yusof berkata, antara lain pihaknya juga kesal kerana surat usul status warisan yang dihantar oleh Pajim, Raudah dan Sekretariat Da’wah sejak setahun lalu masih gagal dijawab oleh Kerajaan Negeri.“Kami tidak mahu terjadi perkara tolak menolak dalam membantu penduduk kampung dapatkan status warisan sedangkan mereka ada hak untuk mendapatkannya.

“Ini tidak, apabila ditanya pada Kerajaan Negeri mereka tolak kepada Kerajaan Pusat, akhirnya siapa yang rugi, penduduk juga yang merana,” katanya.

Terdahulu Sinar Harian pada 1 Disember melaporkan kebimbangan penduduk di perkampungan Batu Uban semakin menjadi-jadi gara-gara bimbang sekiranya masjid tertua di situ tidak lagi mempunyai jemaah.Pengerusi Kariah Masjid Jamek Batu Uban, Sk Abdul Aziz Sk Mohamed berkata, oleh demikian beliau bersama dengan anak kariah memohon status warisan diberikan dengan kadar segera kepada masjid dan juga kawasan perkampungan.

Menurutnya, ketiadaan status berkenaan menyebabkan projek pembangunan di dalam kampung sejak tahun 2007 semakin menjadi-jadi.Akibat tiada jawapan yang pasti, hampir 300 penduduk mengadakan demonstrasi aman menuntut status warisan perkampungan Melayu pertama di Pulau Pinang selepas solat Jumaat.Penduduk juga berhasrat akan mengadakan rombongan menuntut hak warisan ke Putrajaya pada pertengahan Disember ini.

Published with Blogger-droid v2.0.8

No comments:

Post a Comment