Jom Baca. Apa Kata Ustaz Zaharuddin Dalam Isu Penggunaan Nama Allah Oleh Agama Lain!


SUATU masa dahulu negara digemparkan dengan isu menggunakan nama ALLAH oleh agama lain. Saya ingin bertanya kewajaran pihak tertentu membenarkannya. Bagaimana pula pandangan Islam akan hal ini?

Jawapan :

Perkara ini telah mencetuskan beberapa pandangan daripada beberapa kumpulan ilmuwan. Ada yang tidak membenarkan penggunaan itu dengan pelbagai hujah dan nas. Demikian juga kumpulan lainnya.

Secara asasnya, ini adalah perkara cabang dalam bab akidah yang tidak sama sekali menjatuhkan seseorang dalam kekafi ran dan perbezaan pendapat. Maka, ijtihad dibenarkan dalam hal ini.

Antara dalil diutarakan kumpulan-kumpulan tersebut bersifat zhonniah (prasangka baik atau buruk), takwilan juga tafsiran semata-mata. Bagi mereka yang tidak memahami ilmu usul fiqh, akan merasakan perkara ini menjurus kepada kufur.

Oleh itu, tidak wajar menuduh sesiapa yang membenarkan penggunaan nama itu sebagai Islam liberal. Walau mungkin sebahagiannya ingin menyamaratakan semua agama.

Setelah melakukan penilaian terhadap pelbagai hujah, pandangan silam dan kontemporari, secara asasnya saya lebih cenderung kepada pendapat membenarkan penganut Kristian menggunakan nama ALLAH dalam kitab mereka. Antara nas paling jelas adalah,

"Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka, “Siapakah yang menciptakan mereka? Sudah tentu mereka akan menjawab, -  “ALLAH!” (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (DIAlah TUHAN yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata, “Wahai TUHANku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman! (Surah Al-Zukhruf: 87-88)

Dalil ini sememangnya boleh diperdebatkan dengan pelbagai pandangan seperti mentafsirkan ‘ALLAH’ dalam ayat itu bukan sebagai ‘ALLAH’ dalam konteks dikhususkan oleh Islam seperti terkandung

dalam Surah Al-Ikhlas, tetapi adalah Tuhan pencipta secara umum. Namun dalam kaedah fiqh, ia memerlukan kepada dalil lain jika takwilan sedemikian ingin dilakukan.

Khususnya masyarakat jahiliah yang sedia maklum berkenaan agama yang dibawa Nabi Ibrahim AS, dan ‘ALLAH’ telah difahami merujuk kepada siapa.

Berdasarkan penilaian dan pengamatan, pandangan yang membolehkan adalah lebih kuat daripada hujah yang menolak.

Saya kurang setuju untuk memisahkan nama ALLAH kepada pengertian lughah (secara literal, kononnya merujuk kepada Tuhan umum), dan ‘ALLAH’ secara istilah yang merujuk kepada ‘ALLAH’ yang disebut dalam Surah Al-Ikhlas.

Apa yang perlu ditekankan, sama ada nama ‘ALLAH’ dalam kitab Bible digunakan atau sebaliknya, tidak menjadi keutamaan kerana kitab itu bukan rujukan utama kita selain al-Quran. Ini kerana Islam hanya merujuk al-Quran dan hadis dalam menentukan sikap dan pendirian.

Apatah lagi Bible yang wujud hari ini bukan kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa AS.

Namun demikian, itu adalah dalam konteks penelitian dalil dan nas atau konteks ilmiah. Dari segi kesesuaian dan siyasah syari’yah khususnya bagi mengelakkan salah guna dan kekeliruan khususnya di Malaysia, saya bersetuju pengharaman patut dilakukan.

Selain itu saya juga tidak setuju istilah lain seperti solat, Kaabah digunakan oleh pihak Kristian.

Tidak dinafikan, mudarat dan maslahat mungkin sahaja berbeza mengikut penilaian masing-masing, dan tentunya ia bakal memberikan kecenderungan berbeza-beza.

Namun, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini.

Maka, dalam hukum Islam pihak berwajib berhak memutuskan hukuman dalam konteks menghalang mudarat. Tambahan pula terdapat missionary bukan Islam yang ‘galak’ menggunakannya dengan tujuan tertentu, juga beberapa kumpulan bukan Islam yang dirasakan akan mempermainkan dan menyalahgunakan nama ‘ALLAH’ dalam tulisan mereka secara berleluasa. Jika perkara tersebut membawa mudarat berterusan , lebih baik ia dilarang.

Maka perlu dibezakan antara keputusan hukum dan siyasah syar’iyah. Sekuat manapun hujah untuk membenarkan Kristian menggunakan nama ‘ALLAH’ namun dari sudut mudarat, ia wajar dilarang sama ada dalam tempoh tertentu dan berterusan atau mungkin boleh dibenarkan, tetapi dengan syarat-syarat tertentu bagi menghindarkan mudarat yang akan terjadi terhadap umat Islam yang lemah.-SH

No comments:

Post a Comment