Anugerah ditunda kerana PRU-13..


Antara mereka yang terlibat dalam Tribute P.Ramlee

SUBANG JAYA: Acara Malam Anugerah Tribute P.Ramlee (MATP) yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada penghujung bulan ini terpaksa ditunda ke bulan Mei 2013 bagi memberi laluan kepada bahang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Pengarah Program TV RTM, Suhaimi Jamalim berkata, pihaknya selaku penganjur bersama Kumpulan Utusan membuat keputusan menangguhkanya kerana tidak mahu acara itu terganggu dengan aktiviti lain.

"Seperti yang kita sedia maklum, RTM merupakan TV kerajaan di mana pihak kami akan menyiarkan banyak program dan kempen bersempena dengan pilihan raya yang bakal tiba tidak lama lagi.

"RTM yang juga merupakan penyiar rasmi MATP perlu melakukan pelbagai promosi bagi acara anugerah ini.

"Dan kerana itu, sebagai langkah yang teratur, pihak kami menunda ke tarikh yang sesuai agar perancangan persiapan MATP dilaksanakan dengan sempurna," katanya.

Suhaimi ditemui pada sidang media pencalonan MATP di Holiday Villa, di sini, petang Rabu.


Dari kiri Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Nasir Ali, Suhaimi Jamalim dan Rosyam Nor.
Selain RTM dan Kumpulan Utusan, syarikat produksi Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd turut bekerjasama dalam penganjuran MATP.

Sebanyak sembilan anugerah akan dipertandingkan berdasarkan 10 telefilem yang ditayangkan melalui slot Tribute P. Ramlee di TV1. Ia disiarkan setiap Ahad pukul 9 malam bermula 4 November 2012 hingga 6 Januari 2013.

Kategori anugerah tersebut adalah Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Skrip Terbaik, Pengarah Terbaik, Telefilem Terbaik dan Videografi Terbaik.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Suhan Movies, Rosyam Nor, berkata, MATP turut memberi kelainan menerusi kategori Penampilan Istimewa Terbaik di mana ia diperkenalkan bagi menghargai pelakon-pelakon yang telah memberikan impak tersendiri dalam sesebuah telefilem itu.

"Biasanya pelakon-pelakon utama dan pembantu diberi pengiktirafan dalam sesebuah anugerah, sedangkan pelakon yang di undang atas penampilan khas turut memberi kesan.

"Walaupun hanya tampil untuk dua hingga tiga babak, mereka mampu membuatkan penonton tidak meninggalkan tempat duduk mereka untuk menonton telefilem berkenaan," ujarnya.

Antara sepuluh telefilem yang dicalonkan menerusi slot Tribute P. Ramlee adalah Tunggu Sekejap arahan Along Kamaluddin, Getaran Jiwa (Michael Ang), Miang Buluh Keladi Birah (Bade Azmi), Di Mana Ku Cari Ganti (Osman Ali) dan Siapa Tipu Siapa (Aziz M. Osman) .

Selain itu telefilem bertajuk Jodoh Kita (Ismail Yaakob), Titisan Kasih (Rashid Sibir), Pelamin Di Pusara (Murali Abdullah), Hanya Dikau (Amie Maziah) dan Selagi Cinta Berzikir (Eirma Fatima) yang mana kesemuanya diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd juga dicalonkan.

Sebuah panel khas juri seramai tujuh turut dilantik bagi menilai kualiti setiap telefilem mengikut kategori-kategori yang ditetapkan.

No comments:

Post a Comment