Perkembangan Positif Terkini Keadaan Mantan MB Kedah..


Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dilaporkan beransur pulih setelah tidak menggunakan bantuan mesin pernafasan pada sebelah siang.

Bekas setiausaha akhbarnya, Mohd Helmi Khalid berkata, Azizan semakin stabil berikutan hanya menggunakan mesin pernafasan pada waktu malam.

“Keadaannya bertambah baik. Bermula 9 pagi kelmarin, beliau hanya guna mesin pernafasan pada sebelah malam. Beliau juga dalam usaha untuk bercakap berikutan suaranya tidak jelas walaupun beliau cuba berulang kali.

“Beliau masih diberi makanan melalui tiub dan dipantau doktor pakar di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang (HPP). Buat sementara ini, doktor belum mengesahkan beliau akan dipindahkan wad atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Helmi berkata, Azizan masih menjalani proses mencuci bahagian berkenaan dua hari sekali bagi memastikan luka sembuh dengan baik.

“Beliau masih menjalani proses itu untuk memastikan lukanya betul-betul sembuh tanpa dijangkiti kuman. Beliau kini masih dijaga oleh kedua-dua isteri serta 14 anaknya secara bergilir-gilir.

“Keluarganya masih tidak membenarkan orang awam melawat beliau, mungkin akan dibenarkan apabila kesihatan Azizan benar-benar baik, apa-apa pun saya akan maklumkan nanti. Saya mohon rakyat doakan agar beliau cepat sembuh,” katanya.

Azizan pada 7 Mei lalu menjalani pembedahan memotong kedua-dua kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis.-SH

No comments:

Post a Comment