Mengapa abang Ustaz Kazim yang juga bekas ADUN kurang bersetuju adiknya dilantik sebagai ahli MT UMNO?
IPOH – “Secara peribadi saya kurang bersetuju beliau terlibat secara keseluruhan dalam parti,” luah Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias berhubung pelantikan adiknya, Mohammad Kazim sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.
Mohd Najmuddin berkata, sebagai ahli keluarga, beliau melihat situasi pelantikan itu hanya akan menguntungkan sebelah pihak berbanding tugas pendakwah bebas yang boleh menyebar ilmu kepada kerajaan mahupun pembangkang.
Menurutnya, sekiranya benar perdana menteri mahu menempatkan Ustaz Kazim dalam kerajaan, satu jawatan yang lebih sesuai boleh diberikan agar tugas sebagai pendakwah masih boleh dijalankan tanpa perlu ada ‘double standard’.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan, penerimaan jawatan itu kelak akan mengganggu perjalanan Pusat Pendidikan Al-Barakah yang selama ini di bawah tanggungjawab Ustaz Kazim.
“Buat masa ini, saya tidak mendapat penjelasan dari mana-mana pihak mengenai perkara ini. Saya juga tidak tahu di sebalik perlantikan tersebut.
“Sebagai abang saya tidak bersetuju, kecuali perdana menteri menyediakan satu jawatan yang lebih sesuai agar dia boleh terus berdakwah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Beliau yang juga Pegawai Penerangan Agama Pejabat Menteri Besar Perak memaklumkan akan mengadakan satu sidang media khas bersama seorang lagi adiknya yang juga Adun Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah setelah mendapat penjelasan daripada Ibu Pejabat Umno mengenai pelantikan itu.
Mengulas mengenai keahlian Pas, Mohd Najmuddin tidak menafikan Ustaz Kazim pernah menjadi ahli parti itu 15 tahun lepas, bagaimanapun sudah mengisytiharkan diri keluar parti.
“Setahu saya memang (Ustaz) Kazim pernah jadi ahli Pas, tapi dah lama keluar dan sejak itu dia jadi pendakwah bebas,” katanya.
No comments:
Post a Comment