Mat Sabu Berskandal di Pulau Pinang?
SHAH ALAM - Pelantikan Mohamad Sabu sebagai Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang dapat memberikan laluan mudah kepada DAP untuk membuat lebih banyak keputusan besar di negeri itu.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Reezal Merican Naina Merican mendakwa, DAP memerlukan seorang ahli propaganda yang kuat dan Mohamad akan memainkan peranan itu.
"Kita boleh melihat bagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berasa cemas dengan kemerosotan sokongan pengundi Melayu di Pulau Pinang.
"DAP perlukan seseorang yang boleh diperolokkan untuk mendapatkan pengaruh di kalangan pengundi Melayu.
"Malahan, bukan rahsia, Mohamad mendapat imbuhan kewangan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang - melalui jawatannya dalam syarikat milik kerajaan (GLC) negeri dan sebagainya selama ini," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Isnin lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mengumumkan pelantikan Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu itu dibuat sebagai langkah untuk merapatkan hubungan parti Islam itu dengan kerajaan negeri berikutan hubungan rapat Timbalan Presiden Pas itu dengan Guan Eng.
Mustafa berkata, pemilihan itu dibuat berikutan Mat Sabu adalah anak jati Pulau Pinang dan dikenali di negeri ini.
Reezal yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas menambah, pelantikan tersebut turut mengesahan bahawa Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang yang lama tidak berkesan dalam usaha politik Pas terpaksa meletakkan seorang 'Timbalan Presiden' untuk berhadapan dengan Umno dan BN Pulau Pinang.
Namun katanya, tidak ada sebab untuk Umno Negeri Pulau Pinang perlu berasa risau dengan perlantikan Mat Sabu.
"Kita merasakan ianya keputusan yang sangat tidak strategik dan boleh mendatangkan masalah politik kepada pembangkang.
"Dengan pelbagai tekanan yang sedang dihadapi Mat Sabu, khususnya dalam isu akidah dan sebagainya, kelebihan berpihak kepada Umno dan BN," tambahnya.
Reezal yang juga Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang menambah, beliau turut menyatakan rasa simpati kepada pemimpin Pas Pulau Pinang yang terpaksa berhadapan dengan pimpinan diktator seperti Guan Eng.
Menyifatkan pelantikan Mat Sabu sebagai satu 'hukuman politik', Reezal mendakwa, DAP sebelum ini juga berani mengusulkan agar Pas meninggalkan pakatan politik pembangkang yang dirasakan meminggirkan Pas sebelum ini.
"Guan Eng menggunakan pengaruh politik untuk mendapatkan pimpinan Pas Pulau Pinang yang lebih mesra dengan stail kepimpinan autokratik yang diamalkannya.
"Mat Sabu sesuai dengan tugasan itu," katanya lagi.-SH
No comments:
Post a Comment