Masih ingat isu wanita bertudung memohon kerja di KLCC?




Masih ingatkah kita isu wanita yang memohon kerja di KLCC suatu ketika dahulu?

 Wanita tersebut tidak mendapat pekerjaan hanya kerana dia bertudung. Dahulu berita ini hangat diperkatakan kerana mendapat liputan media sosial termasuk di Facebook dan akhbar tempatan.

 Namun, setelah beberapa lama, seakan menjadi norma masyarakat hari ini, isu yang timbul hanya mendapat reaksi seketika, kemudian tiada langkah proaktif yang diambil. Lalu, isu yang timbul dibiarkan seperti angin lalu.

 Kini, isu berhijab timbul lagi apabila seorang guru Cina beragama Islam diarahkan membuka tudung selain diancam keselamatannya. Ini sesuatu yang menyedihkan berlaku di Malaysia iaitu sebuah negara yang menjunjung prinsip demokrasi yang mengangkat jalur kepelbagaian agama dan bangsa, namun masih timbul isu sebegini.

 Pada hemat saya, ini satu bentuk diskriminasi hak berhijab bagi seorang wanita Islam. Walaupun berhijab itu tidak termaktub hukumnya dalam perlembagaan Malaysia namun memberikan arahan sebegitu kepada seorang guru Cina Islam adalah sesuatu yang sukar untuk diterima seakan-akan tiada penghormatan pada individu yang ingin mempraktikkan agamanya. Mungkin undang-undang sekolah itu menyatakan tidak boleh bertudung. Namun itu juga adalah hak seorang individu Islam menunaikan hak sebagai wanita Islam untuk menutup aurat.
Diskriminasi berhijab bukan kes yang pertama di Malaysia, namun jika ia berlaku, pasti senyap sahaja dan tidak ada yang keluar tampil untuk bela nasib mereka. Kalau ada pun hanya di media sosial yang hanya mampu diwar-warkan kepada orang ramai. Namun kesalahan sering diletakkan kepada yang berhijab.

Dalam kes ini, guru itu dipindahkan. Walaupun begitu, saya tidak menolak, secara psikologinya, dalam jangka masa pendek, inilah penyelesaian yang terbaik bagi mengelakkan perselisihan berterusan dalam kalangan individu di sekolah itu. Tetapi, sampai bila kita harus bersikap begini? Bukankah sifat pendidik itu, mendidik anak-anak negara bangsa saling hormat-menghormati dan mencintai antara satu sama lain? Atau pendidik hari ini mula kehilangan semangat mendidik pelajar menjadi seorang manusia berguna?

 Di mana keadilan kita terhadap perkara seperti ini? Di mana suara-suara NGO yang lantang menentang kezaliman atas nama melanggar hak asasi individu? Saya secara peribadi tidak mahu menuding jari pada mana-mana NGO yang memperjuangkan hak wanita.

 Malah, menyeru agar NGO seperti ini tampil memperjuangkan hak wanita seperti ini. Bukan semata-mata melaung-laungkan persamaan jantina, tetapi juga hak wanita yang ingin mempraktikkan semangat keagamaannya sendiri. - Rusni Tajari

No comments:

Post a Comment