PRK Kajang Adalah Mainan Liwat Anwar.



KUALA LUMPUR 29 Jan. - Keputusan mengejut Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kawasan itu dipercayai satu sandiwara politik untuk menyelamatkan Ketua Pembangkang tersebut daripada hukuman terhadap tuduhan liwat buat kali kedua.

Ini memandangkan rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada 12 dan 13 Februari ini.

Kejadian hampir sama seperti berulang apabila pada 26 Ogos 2008, Anwar bertanding sebagai calon PKR di Permatang Pauh selepas beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di atas tuduhan tersebut pada 7 Ogos tahun sama.

Pada 15 April 1999, Anwar Ibrahim dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah atas empat kesalahan rasuah berhubung penyalahgunaan kuasa dengan campur tangan dalam penyiasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.
Kemungkinan strategi itu sekali lagi digunakan oleh Anwar didedahkan oleh bekas Setiausaha Sulitnya, Muhammad Rahimi Osman yang mendakwa beliau mendapat maklumat itu daripada sumber dalaman PKR.

Menurut beliau, perbalahan antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali cuma perkara biasa yang tidak akan menyebabkan Anwar mengambil langkah drastik itu sehingga membelakangkan pimpinan pakatan pembangkang.
"Tindakan Anwar bertanding di DUN Kajang merupakan langkah politik untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa dalam rayuan kes liwat beliau.

"Melalui pertandingan dalam pilihan raya kecil, populariti Anwar akan meningkat dan jika Anwar diletakkan menjadi Menteri Besar Selangor, maka akan terdapat satu tekanan kepada pihak berkuasa dalam kes liwat beliau," dakwanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kerusi DUN Kajang dikosongkan oleh wakil rakyat PKR, Lee Chin Cheh yang meletakkan jawatan kelmarin selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei lalu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan Barisan Nasional (BN), Berjasa dan tiga calon bebas.

Semalam, Abdul Khalid mengumumkan Anwar sebagai calon pilihan raya kecil DUN Kajang yang dikosongkan oleh Chin Cheh.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berpandangan, jawatan Menteri Besar Selangor bukan matlamat utama yang mendorong Anwar untuk bertanding bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Kajang.

Beliau yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) malah menyifatkan tindakan Anwar itu sebagai 'mempolitikkan kes liwat ke tahap maksimum'.

"Saya tidak hairan dengan 'drama' Anwar kali ini kerana Penasihat PKR itu cuma mengulangi episod yang sama dengan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 2008," dakwanya.
Yang berbeza cuma wakil rakyat yang menjadi 'korban' iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengundur diri untuk memberi laluan kepada suaminya di Permatang Pauh manakala Chin Cheh meletakkan jawatan agar Anwar boleh bertanding sebagai calon PKR di Kajang.

"Memang benar pilihan raya kecil DUN Kajang bukan berkisar tentang soal Anwar mahu menjadi Menteri Besar Selangor, sebaliknya tentang kes liwat beliau," dakwanya.

Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari percaya Anwar tahu laluannya untuk menjadi Menteri Besar Selangor adalah proses yang rumit.
"Terdapat banyak faktor yang boleh menghalang Anwar daripada dilantik ke jawatan itu terutama kemungkinan tidak mendapat perkenan Sultan Selangor," jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, Anwar berkemungkinan akan memainkan persepsi jika gagal menjadi Menteri Besar Selangor bahawa semua itu adalah berpunca daripada rayuan kes liwat yang kononnya didalangi oleh UMNO dan BN. -Utusan

No comments:

Post a Comment