Video Lagu terbaru Herman Tino: Anwar Jangan Kumpulkan Kemarahan Penduduk Demi Kepentingan Peribadi.
SHAH ALAM – Setelah agak lama menyepikan diri dalam industri nyanyian, penyanyi yang terkenal pada tahun 1980an, Herman Tino tampil mencipta lagu sempena PRK Dun Kajang, bertajuk ‘Nyamuk Nakal Lipas Liar’.
Memetik kenyataannya dari laman mikro Twitternya hari ini, Herman berkata, beliau juga tidak mahu ketinggalan dalam memeriahkan suasana menjelang pilihan raya kecil itu.
Malahan, dari petikan komennya itu, membayangkan seolah-olah turut bertanding pada PRK Dun Kajang.
“Jangan fikir ‘hanya orang politik sahaja yang boleh cantikkan keadaan’, saya pun tahu ada kerusi kosong di Kajang dan saya anak Selangor,” katanya.
Bagaimanapun, ketika dihubungi Sinar Harian Online, Herman menafikan perkara itu.
“Saya seorang pencinta demokrasi. Kalaupun saya hendak bertanding, saya akan minta izin daripada penduduk Kajang sendiri.
“Walaupun saya tidak mempunyai jentera untuk berkempen kerana saya bergerak sendiri, tetapi jika ada orang Kajang yang mahu saya bertanding, saya bersedia.
“....tetapi buat masa ini, saya tidak ada niat untuk bertanding pun,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian Online hari ini mendapati, Herman telah memuat naik klip video berdurasi 3 minit dan 14 saat sejak semalam.
Sehingga jam 12.30 tengah hari tadi, sudah lebih 400 orang menonton klip video tersebut.
Ketika ditanya mengenai laporan sebuah portal media yang mengatakan beliau menujukan lagu tersebut kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Herman turut menafikan perkara itu.
“Lagu itu saya tujukan buat kamu (wartawan) dan orang Kajang sahaja, bukan dia (Anwar).
“Cuma pesan saya buat Anwar, jangan kumpulkan kemarahan penduduk demi kepentingan peribadi. Saya sendiri tidak pernah memaksa orang lain untuk menyukai saya,” katanya lagi.-SH
No comments:
Post a Comment