Brazil tewas teruk kerana doa orang-orang ini termakbul?
TAHNIAH Jerman, takziah Brazil! Itulah hakikat pahit yang terpaksa diterima Brazil apabila kalah 1 – 7 kepada Jerman dalam perlawan separuh akhir Piala Dunia Fifa.
Sebagai peminat setia Jerman, tentulah saya gembira pasukan kesukaan saya menang. Namun jumlah gol yang diperoleh itu amat memeranjatkan apatah lagi berdepan dengan pasukan hebat seperti Brazil. Saya percaya seluruh dunia juga terkejut dengan kemenangan besar Jerman ini!
Dari suatu sudut yang lain, ingin saya sentuh isu besar yang cuba disorokkan di bawah “karpet” iaitu isu gelandangan dan golongan miskin di Brazil.
Mungkin ada yang tidak tahu, bahawa hampir setiap hari sepanjang berlangsungnya Piala Dunia Fifa ini ada tunjuk perasaan. Penganjuran ini mendapat tentangan sebahagian rakyat Brazil khususnya golongan gelandangan dan miskin. Maklumlah, untuk menjayakan kejohanan ini berapa banyak rumah rakyat miskin dirobohkan dan dihalau ke kawasan lain, dengan alasan tidak mahu mencemarkan imej tuan rumah.
Mereka bukan tidak menyukai pasukan Brazil dan tidak cintakan sukan nombor satu dunia ini, tetapi mahu kerajaan lebih mengutamakan mereka berbanding berhabis dunia menganjurkan kejohanan besar ini.
Benar, kerajaan Brazil mungkin memberi alasan bahawa penganjuran ini akan membawa hasil berbilion ringgit dan duit itu boleh digunakan kembali untuk rakyat. Namun, realiti tidak begitu!
Seperti biasa, akhirnya golongan gelandangan dan miskin ini tetap dengan kemiskinan mereka dan hasil daripada keuntungan kejohanan ini entah ke mana.
Ingatlah, kejohanan Piala Dunia Fifa kali ini berlangsung atas kesedihan, kesusahan dan air mata rakyat yang susah dan miskin. Kemenangan dan keuntungan berbilion ringgit tidak ada maknanya bagi mereka! Adakah akibat doa orang miskin yang teraniaya ini Brazil kalah?
No comments:
Post a Comment