Tahukah Anda?


Tahukah Anda @CMLimGuanEng mempunyai kuasa veto untuk melulus atau tidak projek perumahan untuk bumiputera P.Pinang?

"Kenyataan Media
Dato' Zainal Abidin Osman
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang
9 Oktober 2014

Permohonan Pelan Kebenaran Merancang Projek-projek Perumahan oleh PERDA dan JKP Sdn Bhd: Menjawab Kenyataan Media Exco Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa Negeri Pukau Pinang pada 7 Oktober 2014

1. Di bawah Kerajaan Persekutuan, beberapa agensi diamanahkan untuk menyediakan perumahan untuk rakyat. PERDA ditubuhkan untuk fungsi kemajuan wilayah khusus bagi negeri Pulau Pinang untuk menaikkan taraf kehidupan Bumiputera di Pulau Pinang; fungsi menyediakan pelbagai jenis perumahan bagi rakyat adalah salah satu dari matlamat penubuhannya. Begitu juga dengan JKP Sdn Bhd. Berbeza dengan PR1MA yang ditubuhkan khusus untuk menyediakan rumah mampu milik di kawasan bandar dan agensi-agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pula menyediakan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

2. Sebagaimana Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), PERDA dan JKP Sdn Bhd membangunkan pelbagai jenis perumahan termasuk bangunan komersial untuk memenuhi permintaan perumahan/hartanah setiap lapisan rakyat di Pulau Pinang. Oleh itu projek-projek pembangunan hartanah yang dilaksanakan kedua-dua agensi akan merangkumi pelbagai komponen perumahan (mixed development) sebagai memenuhi permintaan semasa pasaran.

3. Sejak 2012 sehingga kini, sejumlah 15 permohonan Pelan Kebenaran Merancang (12 di kawasan Seberang Perai dan 3 di kawasan Pulau) mengandungi 9444 unit perumahan dikemukakan oleh PERDA dan JKP Sdn Bhd belum diluluskan oleh pihak berkuasa negeri. Ini termasuk pemajuan rumah kos rendah (jenis teres dan pangsapuri) yang ditawarkan pada harga RM35000 dan RM42000 seunit sebanyak 2447 unit (25.9% dari 9444 unit).

4. Rakyat Pulau Pinang turut kesal dan kecewa kerana pada masa ini Kerajaan Negeri sendiri sudah tidak lagi menawarkan rumah kos rendah pada harga RM42000 seunit untuk golongan berpendapatan rendah. Rumah mampu milik Kerajaan Negeri paling murah adalah pangsapuri berharga RM72000 seunit.

5. Dari 9444 unit perumahan yang dicadangkan 48.1% adalah pada harga dibawah RM250,000 (di kawasan Seberang Perai) dan 16.1% pada harga di bawah RM400,000 (di kawasan Pulau). Peratusan keseluruhan jumlah rumah di bawah siling harga mampu milik kerajaan negeri pula adalah pada 64.21% dari keseluruhan permohonan. Rumah-rumah yang ditawarkan oleh PERDA dan JKP Sdn Bhd pada harga melebihi siling harga rumah mampu milik Kerajaan Negeri (RM250k di kawasan Seberang dan RM400k di kawasan Pulau) adalah rumah-rumah jenis teres "landed properties" dan bukannya berkonsepkan pangsapuri/rumah bertingkat seperti yang ditawarkan oleh kerajaan negeri. Adalah tidak wajar menyamakan atau membandingkan harga rumah teres "landed properties" dengan harga rumah bertingkat/pangsapuri. Manakala peratusan rumah yang dicadangkan pada harga tawaran melebihi RM500,000 adalah amat kecil berbanding jumlah rumah kos rendah sebanyak 2447 unit yang ditawarkan.

6. Harga rumah-rumah selain rumah Kos Rendah yang dimajukan oleh JKP dan Perda dipastikan berada 20%-30% lebih rendah dari harga pasaran bagi jenis rumah serupa yang ditawarkan oleh pemaju-pemaju swasta. Purata unjuran kadar keuntungan hanya 10% bagi projek-projek Perda & 7% bagi projek-projek JKP Sdn Bhd. Keuntungan yang akan diperolehi adalah untuk kegunaan projek-projek di masa hadapan sebagai "rolling capital" seperti membeli tanah-tanah baru. PERDA dan JKP tidak mengaut untung besar dalam projek-projek yang dimajukan sebagaimana yang cuba digambarkan oleh Exco Perumahan Pulau Pinang. PERDA dan JKP Sdn Bhd hanya merekodkan keuntungan purata RM 1-2 juta setahun sejak 15 tahun lalu dan boleh disemak melalui Penyata Tahunan Kewangan kedua-dua agensi berkenaan.

7. PERDA dan JKP tidak boleh hanya menawarkan jenis perumahan kos rendah, kos sederhana rendah atau yang dikategorikan mampu milik sahaja kepada Bumiputera di Pulau Pinang. Ini kerana adanya permintaan daripada golongan Bumiputera yang memerlukan unit perumahan yang lebih luas dan selesa. Cadangan pembinaan beberapa unit-unit banglo dalam 2 dari 15 projek yang dipohon adalah untuk memenuhi permintaan Bumiputera tempatan yang berkemampuan memiliki banglo-banglo berkenaan.

8. Kerajaan Negeri juga meluluskan projek-projek perumahan bercampur oleh PDC. Adalah tidak adil sekiranya Kerajaan Negeri menghadkan PERDA dan JKP Sdn Bhd untuk hanya menawarkan rumah-rumah kategori mampu milik sahaja kepada Bumiputera Pulau Pinang dan tidak mengenakan syarat sama ke atas PDC.

9. Menurut Piagam Pelanggan OSC Pihak Berkuasa Tempatan, permohonan Pelan Kebenaran Merancang akan diproses dan diberi jawapan dalam tempoh 6 bulan sahaja. Namun begitu permohonan yang dikemukan sejak September 2012 sehingga kini masih juga belum mendapat maklum balas.

10. Bakal-bakal pembeli unit rumah dalam projek-projek ini berpandangan bahawa Kerajaan Negeri dengan sengaja mencari alasan untuk tidak meluluskan permohonan Pelan Kebenaran Merancang yang dipohon oleh PERDA dan JKP Sdn Bhd. Kelewatan memberikan jawapan kepada permohonan-permohonan ini adalah tindakan yang tidak menasabah.

11. Saya melalui surat bertarikh 18 Ogos 2014 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang telah memohon untuk bersekemuka dan memberi taklimat berhubung permohonan projek-projek perumahan ini, namun sehingga kini belum mendapat jawapan. PERDA dan JKP Sdn Bhd ingin bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk menyediakan perumahan kepada rakyat. Adalah diharapkan Kerajaan Negeri juga bersedia dan terbuka untuk meluluskan permohonan Pelan Kebenaran Merancang yang dipohon oleh kedua-dua agensi berkenaan. Permasalahan ini tidak patut dibiarkan berterusan. Ia seharusnya dibincangkan dan dirundingkan secara bersekemuka dan bukannya melalui media.

12.Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang berharap kerajaan negeri akan menggunakan budibicara mereka dalam mempertimbangkan kelulusan permohonan projek-projek oleh PERDA dan JKP Sdn Bhd supaya program menyediakan perumahan untuk rakyat Pulau Pinang dapat dijayakan dengan kerjasama agensi-agensi Persekutuan sekaligus menyempurnakan keinginan rakyat untuk memiliki rumah yang mereka impikan.
Terima Kasih."

Nota: 
Mengikut rekod semua ulasan jabatan teknikal telah diperolehi dan tiada halangan, hanya kelulusan OSC yg tidak diperolehi dan kuasa OSC di PBT di PPinang diambil alih oleh SPC ( yg dipengerusikan oleh Lim Guan Eng) bagi mempertimbangkan kelulusan projek2 perumahan yang dilaksanakan oleh PERDA, JKP, MARA, Jabatan Perumahan Negara dan KKLW

1 comment:

  1. Minta izin WM untuk iklan

    Ada sesiapa yg nak selamatkan tanah rezeb melayu??

    Kawasan Puchong, 4 ekar tanah pertanian yg dikelilingi projek perumahan, bersempadan dengan tanah perbadanan cyberjaya..urusan segera dengan pemilik tanah

    Tanpa broker....hanya runding terus ..buka harga 1 juta sahaja seekar (boleh runding) walapun orang lain jual 1.3juta ke 1.7 juta seekar..yg pelik macam mana cina boleh beli 2..3 bidang tanah di kawasan yg sama sedangkan tanah tersebut reserve melayu??!!

    Sangat menguntungkan untuk projek perumahan atau sebagai pelaburan masa depan ...hantar segera sms ke 013 2704567(anda akan dihubungi segera)..ayuh tolong saya selamatkan tanah orang Melayu !!!

    ReplyDelete