UMNO Pulau Pinang Tetap Adakan Perarakan Maulidur Rasul


NIBONG TEBAL, – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, UMNO dan Majlis Tindakan Persekutuan UMNO Pulau Pinang tetap akan mengadakan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul walaupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkan pengguguran acara perarakan tersebut bagi tahun kedua berturut-turut.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim telah mengumumkan perkara tersebut dan ianya bakal diganti dengan tazkirah, solat duha, selawat dan berzanji di Dewan Sri Pinang.

Menurut Zainal, sejak azali lagi setiap kali tibanya Maulidur Rasul, perarakan pasti akan dibuat maka tidak ada sebab mengapa kali ini ianya tidak dilakukan.

“Tahun lepas UMNO bersama agensi-agensi persekutuan dan pertubuhan-pertubuhan NGO Islam tetap mengadakan perarakan setelah permohonan permit dilulus. Maka, begitu juga tahun ini.

“Kita dijangka mengadakan perarakan pada 4 Januari akan datang. Biarlah jika kerajaan negeri enggan mengadakan perarakan.

“Segala persiapan sedang diatur dan insyaallah umat Islam Pulau Pinang akan menyambut Maulidur Rasul dengan penuh keinsafan dan kesyukuran seperti yang telah dirancang,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Jelasnya lagi, beliau tidak faham mengapa kerajaan negeri sekali lagi menggugurkan perarakan Maulidur Rasul kerana perarakan ini bukanlah satu perarakan yang melibatkan politik.

“Ini soal kepercayaan agama masing-masing. Sebagaimana kerajaan persekutuan tidak pernah menghalang agama lain berarak maka seharusnya Ketua Menteri Pulau Pinang mengambil tindakan yang sama.

“Apapun, UMNO Pulau Pinang akan terus berusaha dan mengaturkan agar perarakan ini dapat dilaksanakan. Permit kita sudah mohon daripada pihak polis.

“Kerajaan negeri tiada kuasa untuk menghalang mana-mana pihak untuk mengadakan perarakan kerana ia adalah bidangkuasa pihak Polis,” tegasnya.

‪#‎KamiAkanTegakanSyiarIslam‬‪#‎KamiBersamaIslam‬ ‪#‎IslamAgamaSuci‬‪#‎IslamTerbaik‬ ‪#‎BoikotMalikKassim‬‪#‎BoikotDapPenang‬

No comments:

Post a Comment