Tutup pusat peranginan Pulau Jerejak tanpa notis timbul persoalan
Penutupan pusat peranginan tropika di Pulau Jerejak di sini oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang tanpa sebarang notis awal menimbulkan pelbagai persoalan banyak pihak.
Ketua Biro Pelancongan Pemuda Gerakan negeri, Yap Kheng Chew berkata, pusat peranginan tropika di pulau berkenaan mula ditutup sejak minggu lalu.
Katanya, perkara berkenaan perlu dijelaskan kerana melibatkan imej negeri ini sebagai lokasi yang sering menjadi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara.
“Minggu lepas, saya dan keluarga datang ke sini untuk menaiki feri ke Pulau Jerejak namun dimaklumkan pusat peranginan itu ditutup dan perkhidmatan feri juga tidak beroperasi.
“Pada mulanya saya menyangka pusat peranginan berkenaan ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan atau penganjuran majlis tertutup, namun pemeriksaan sekali lagi selepas itu mendapati masih tidak dibuka,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau mahukan penjelasan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan negeri, Danny Law Heng Kiang mengenai status sebenar pusat pelancongan tersebut yang ditutup tanpa sebarang notis.
Dalam masa sama, ujarnya, rakyat negeri ini wajar dimaklumkan sama ada penutupan berkenaan bersifat sementara atau Kerajaan DAP Pulau Pinang mempunyai pelan pembangunan lain di situ.
Selain itu, kata beliau, persoalan juga timbul apabila Lembaga Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang merupakan rakan kongsi kepada pemilik pusat peranginan berkenaan berdiam diri dalam isu tersebut tanpa sebarang pengumuman.
“Situasi ini jika dibiarkan boleh menjejaskan sektor pelancongan di negeri ini apabila pelancong yang datang dari luar negara hanya mengetahui penutupan berkenaan setibanya di jeti untuk ke Pulau Jerejak,” ujarnya.
Sebahagian isi kandungan dipetik daripada berita Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment