Jawatan TPM , Kenapa Tiba-Tiba Guan Eng Buat Penafian ?
Orang pertama yang tiba-tiba bingkas bangun melatah adalah Lim Guan Eng !
Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam kenyataannya menyebut “Kami tidak pernah membincangkan jawatan dalam kerajaan,” katanya pada satu sidang akhbar semalam.
“Sila ambil perhatian apabila kita bercakap mengenai perkauman, ia tidak menyelesaikan sebarang masalah. Kami tidak pernah membincangkan jawatan TPM atau bercakap mengenai sebarang jawatan Kabinet,” tambahnya.
Nampaknya sudah ada kekeliruan yang berlaku dalam hubungan sesama parti yang dibentuk atas nama Pakatan Harapan.
Agak menghairankan bagaimana secara tiba-tiba isu ini dilihat begitu penting buat DAP ?
Sebelum itu Tun Mahathir dalam kenyataannya yang disiarkan media telah mengesahkan DAP mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, hasrat itu disuarakan sendiri DAP yang mahu jawatan kedua tertinggi dalam kerajaan berkenaan diserahkan kepada salah seorang pemimpin parti itu.
Bagaimanapun, beliau menafikan DAP mahukan jawatan Perdana Menteri kerana memerlukan undi daripada orang Melayu yang dilihat sukar berbanding mendapatkan undi kaum Cina. "Tak mungkin (mahu jadi Perdana Menteri jika menang PRU) kerana kalau DAP nak menang, mereka kena dapat sokongan parti Melayu yang lain.
"Mereka terang-terang kata kepada saya, bangsa Cina ini minoriti dalam negara ini...dan DAP tak pernah minta menjadi Perdana Menteri. "Tapi kalau timbalan itu, adalah...Yang kata mereka nak jadi Perdana Menteri adalah Datuk Seri Najib untuk menakut-nakutkan orang Melayu," katanya seperti dilaporkan media semalam.
Pada 31 Disember lalu, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, mendakwa Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan menjadi Perdana Menteri, manakala Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya pada PRU Ke-14.
Mukhriz dan Kit Siang turut dicabar membuat akuan bersumpah (SD) menafikan mereka bukan calon sulit Pakatan Harapan bagi kedua-dua jawatan itu.
Soalnya sekarang siapakah yang bercakap benar Tun Mahathir atau Guan Eng ?
Selain daripada itu ramai rakyat kini tertanya-tanya kenapa Guan Eng dengan begitu pantas tampil mewakili DAP membuat penafian terhadap isu yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir sedangkan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Tunku Aziz bekas naib pengerusi DAP yang mendedahkan tentang pakatan sulit melibatkan kedudukan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan menang PRU14 ?
Apakah ada sesuatu yang sedang disembunyikan daripada pengetahuan rakyat Malaysia ?
No comments:
Post a Comment