Al-Fatihah: Perginya Seorang Pejuang

KANGAR 22 Nov. - Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis, Datuk Ishak Arshad, 58, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah awal hari ini kerana menghidap penyakit barah tulang.

Menurut abang iparnya, Abu Bakar Senapi, 71, Allahyarham meninggal dunia kira-kira empat pagi selepas dirawat di hospital itu sejak seminggu lalu, dan jenazahnya dibawa pulang ke rumah beliau di Chuping, dekat sini dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Bawah Bukit pada 11 pagi.

Ishak, yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, meninggalkan seorang balu, Norhaida Sulaiman, 56, dan lima anak berusia antara 16 dan 33 tahun.

Turut menziarahi jenazah Allahyarham Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Datuk Yazid Mat, bekas Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim dan anggota Exco kerajaan negeri.

Allahyarham, yang pernah berkhidmat sebagai seorang pendidik, adalah Anggota Parlimen Kangar dari tahun 1990 hingga 1995, dan mulai 26 April 1995 hingga 6 April 2004, beliau menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Mata Ayer selama dua penggal, dan dalam tempoh itu, beliau dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri dengan menerajui portfolio agama.

Mulai 2008, Allahyarham dilantik sebagai Pengarah Yayasan Islam Negeri Perlis (YIPs) dan baru-baru ini, beliau dilaporkan menghantar surat permohonan untuk meletak jawatan mulai Januari 2012 kerana faktor kesihatan. - Bernama

No comments:

Post a Comment