‘PM rombak Kabinet’ mainan pembangkang

Tidak timbul isu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merombak Kabinet awal bulan bagi menunda tarikh pilihan raya berikutan dua skandal membabitkan menterinya.

Sebaliknya, isu dianggap sebagai mainan politik pembangkang semata-mata.

Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Latt Shariman Abdullah berkata, tidak ada keperluan untuk Kabinet dirombak sekiranya Perdana Menteri sudah memberi isyarat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin hampir.

“Jika benar Kabinet akan dirombak hanya untuk menutup dakwaan yang ditimbulkan pembangkang, pasti sudah lama ia dibuat, kenapa perlu tunggu hingga saat akhir,” katanya, ketika dihubungi.

Latt Shariman yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah berkata demikian ketika mengulas kenyataan sebuah portal yang menyebut Najib akan merombak semula Kabinetnya awal bulan ini dan menunda tarikh pilihan raya berikutan skandal melibatkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Portal itu turut mendakwa Pejabat Perdana Menteri sudah menyenaraikan menteri dan timbalan menteri yang berpotensi untuk menghadapi pilihan raya akan datang dan menggantikan mereka yang boleh menjadi ancaman kepada pilihan raya.

Mengulas dakwaan itu, Latt Shariman berkata, kedua-dua isu berkenaan sama ada Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan penyelewengan wang zakat yang dibangkitkan oleh pembangkang sudah diberi penjelasan sewajarnya oleh pihak berkaitan.

“Tidak pernah Perdana Menteri sebelum ini, buat rombakan menjelang pilihan raya. Jika Najib sendiri sudah beri petanda pilihan raya semakin hampir, buat apa beliau mahu rombak, tiada keperluan,” katanya.

Menurutnya, dengan petanda itu juga, sudah pasti Najib sudah mempunyai ‘pasukan impian’ atau bersedia gempur dengan pasukan sedia ada.

“Memang tak relevan kaitkan isu rombak kabinet dengan isu terbabit, saya langsung tak nampak ada kaitannya. Tak kan pula perlu rombak Kabinet dalam keadaan tergesa-gesa semata-mata mahu raih sokongan rakyat dengan menutup dakwaan yang dilemparkan,” katanya.

Latt Shariman berkata, semua pihak diminta bersabar dan menunggu hasil siasatan pihak berkuasa, sebelum membuat kesimpulan mahupun tanggapan negatif terhadap kerajaan.

Mengulas sama ada Shahrizat perlu meletak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat kerana dikaitkan dengan isu NFC, Latt Shariman berkata jika Ketua Pergerakan Wanita Umno itu berasakan kedudukannya akan beri kesan tidak langsung pada pilihan raya akan datang, beliau sendiri perlu buat pilihan.-SH

No comments:

Post a Comment