ISU TUNTUTAN HANYA DOKTOR WANITA DI BILIK BERSALIN : Pandangan Peribadi Dr.Har


Sebelum baca lebih lanjut, siapa Dr. Har ni ?

ABOUT DR HAR

Prof Madya Dr Harlina Halizah Hj Siraj

Pengerusi Pembangunan Sosial IKRAM & Naib Ketua Wanita IKRAM
Mantan Naib Presiden JIM (2009-2012)
Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM)
Mantan Presiden MAMANEH
Isteri dan ibu kepada kepada 4 orang anak (seorang telah meninggal dunia).

-----------------------------------------------

Chairperson, Social Development Committee IKRAM & Deputy Head, Women Section IKRAM
Ex Deputy President JIM (2009-2012)
Consultant of Dept. of Obstetrics & Gynaecology, HUKM
Former President MAMANEH
A wife and mother of four children (one died).


Berikut adalah pandangan peribadi Dr Har, tidak mewakili mana2 institusi atau organisasi yang berkaitan. Mohon dibaca dengan lapang dada dan fikiran, kerana pastinya akan ada pandangan yang bertentangan, berlawanan dan tidak secocok dgn pegangan peribadi pembaca. Artikel ini juga sekadar nukilan biasa, bukan satu kertas kerja ilmiah. Bukan juga suatu usaha yang sengaja mahu menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Semoga Allah SWT sentiasa memberi petunjuk-Nya yang mulia kepada setiap kita yang ikhlas mahu meraih keredhaan-Nya!

Sejak akhir-akhir ini, semakin lantang desakan agar perkhidmatan jagaan perubatan mengkhusus , di mana aspek gender diketengahkan semula setelah sekian lama perkara ini tidak ditimbulkan, menggunakan peruntukan keadaan darurat selama ini. Semakin kuat tekanan menuntut pesakit wanita hanya dirawat oleh perawat dan doktor wanita sahaja, terutamanya semasa berada di bilik bersalin.

Selain permintaan tersebut datang dari wanita sendiri, tidak kurang hebatnya kaum lelaki selaku suami yang begitu bertegas mahu tuntutan in dipenuhi segera! Tentu sekali cemas para sang suami apabila bimbang dihukum dayus kerana tidak dapat memastikan aurat isteri mereka sentiasa tertutup dan terpelihara semasa bersalin – dengan adanya doktor lelaki yang memeriksa dan menyambut kelahiran bayi. Hingga dikhabarkan, adanya para suami yang berani bertindak mengambil risiko menyambut kelahiran bayi mereka sendiri di rumah kerana semata-mata tidak mahu membawa isteri ke hospital kerana bimbang aurat isteri tidak dapat dijaga dari pandangan lelaki ajnabi.

Disebabkan suami bukanlah seorang yang terlatih dalam aspek ini, sudah terdapat beberapa insiden kelahiran di rumah yang melibatkan komplikasi kepada ibu dan bayi yang lahir seperti tumpah darah (postpartum haemorrhage), lekat uri ( retained placenta) dan bayi lemas (neonatal asphyxia). Bagi kami yang terlibat secara langsung dalam penjagaan ibu dan bayi (maternal & neonatal health), komplikasi ini amat serius sekalipun belum banyak kes yang dilaporkan. Memang adat orang bersalin, komplikasi ini adalah risiko yang terpaksa dihadapi oleh setiap ibu yang menyabung nyawa melahirkan seorang manusia baru ke dunia. Namun, pencegahan dan rawatan segera perlu dilaksanakan untuk mengelakkan mortaliti (kematian) dan morbiditi (kecederaan) kepada ibu yang sewajarnya terus sihat untuk menjaga & menyusukan anak yang baru lahir.

Dr Har akan menghurai pandangan mengikut corak soal dan jawab.

Soalan (1) : Boleh tak pesakit meminta hanya doktor dan perawat perempuan sahaja yang dibolehkan membuat pemeriksaan organ reproduksi seperti VE (vaginal examination), buat calitan Pap dan semasa melahirkan kandungan?

Jawapan (1)
Tentu sekali boleh. Ini berpandukan prinsip etika perubatan : prinsip autonomi atau prinsip kebebasan pesakit sama ada bersetuju atau tidak mendapatkan rawatan, disamping memilih siapa yang merawat.
Di Fakulti Perubatan UKM, melalui modul Perkembangan Kendiri dan Profesionalisme ( Personal & Professional Development –PPD) pada tahun tiga semasa posting klinikal O&G, Dr. Hard an rakan-rakan tenaga pengajar di Jabatan O&G sering menasihati pelajar perubatan agar memenuhi dan menghormati permintaan pesakit khususnya jika dia tidak selesa dan merasa malu diperiksa oleh seorang doktor lelaki. Jangan sekali-kali memperlecehkan permintaannya dan cuba sedaya mungkin mencarikan doktor wanita untuk membantu.
Namun pesakit dan suami juga harus faham, pergiliran dalam sistem bekerja seharian bagi para doktor di hospital dan klinik kerajaan khasnya, menyebabkan ada kemungkinan tiada doktor perempuan yang bertugas pada satu-satu waktu tersebut. Jika ini berlaku, agak sukar doktor hendak memenuhi kehendak dan permintaan pesakit. Namun, kami tetap akan mencuba!
Satu lagi, mintalah bantuan dari perawat dan doktor dengan baik tuturkata, berbudi bahasa dan bersopan santun. Tak perlulah marah-marah, menengking dan mengherdik. Bukankah kita ini terkenal dengan budi bahasa dan adab sopan? Terutama mereka yang tergolong dalam lingkungan pencinta ad deenul haq, Islam yg mulia ini – lebih lagi diharapkan dapat menunjukkan akhlak yang baik dan terpuji.

Soalan (2) Memandangkan sudah ramai bilangan doktor wanita di Malaysia, hendaklah diwujudkan satu polisi awam di mana hanya doktor perempuan sahaja yang merawat pesakit wanita di bilik bersalin, dengan itu terpeliharalah aurat mereka dari dilihat lelaki selain suami.

Jawapan (2)
Untuk menjaga hak dan autonomi pesakit sentiasa terpelihara, sebagaimana hak pesakit wanita yang mahukan hanya doktor dan perawat perempuan yang merawatnya, prinsip perubatan juga menggariskan tidak wajar diwujudkan satu ketetapan yang memaksa pesakit dan menafikan hak dan autonomi untuk memilih siapa doktornya. Maka sekiranya seorang pesakit mahu seorang doktor lelaki memeriksanya, begitu juga sebaliknya, ia wajar mendapat apa yang diinginkannya.
Sekiranya peraturan tersebut mahu diimplementasi dengan adil dan saksama, sudah barang tentu perlu juga ditetapkan pesakit lelaki hanya boleh dirawat oleh doktor dan perawat lelaki. Namun mengikut pengalaman peribadi saya menjadi pengamal perubatan selama lebih dua puluh tahun ini, hampir tidak pernah kedengaran desakan dan keperluan sebegitu. Jika para suami menggunakan alasan tubuh badan isterinya hanyalah untuknya dan tidak boleh dilihat oleh lelaki lain melainkan dalam suasana darurat, wajar juga para isteri juga mendesak agar pihak hospital menyediakan doktor dan perawat lelaki sahaja untuk suami mereka agar tiada perempuan lain yang boleh melihat tubuh badan suaminya!
Perlu barang diingat, amalan perubatan dilingkungi oleh kod etika yang tegas, bertujuan menjaga kebajikan para doktor dan pesakitnya. Sekiranya seorang doktor lelaki diperlukan menyambut kelahiran bayi, dia tidak dibiarkan berdua-duaan dengan pesakit wanitanya. Kod etika mewajibkan dia memastikan adanya kehadiran `chaperon’ ataupun pihak ketiga pada setiap kali dia perlu merawat pesakit yang berlainan gender dengannya. Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menghuraikan tentang kehadiran chaperon melalui artikel 3.3 dalam Good Medical Practice Guidelines:

A doctor must always examine a patient, whether female or male, or a child, with a chaperon being physically present in the consultation room, with visual and aural contact throughout the proceedings.
These requisites are designed to allow the doctor to proceed with clear, unhampered clinical examination of the patient, as he deems appropriate for the purpose of arriving at a proper diagnosis, without later having to defend his actions.

( Seorang doktor mestilah sentiasa memeriksa seorang pesakit sama ada lelaki atau wanita atau kanak-kanak, dengan kehadiran seorang peneman (chaperon) yang sentiasa hadir secara fizikal di bilik konsultasi tersebut, yang boleh melihat dan mendengar segala kejadian sepanjang pemeriksaan dijalankan.
Ketetapan ini direkabentuk untuk membolehkan doktor meneruskan pemeriksaan klinikal dengan jelas dan tidak terganggu, sebagaimana yang dirasakan perlu untuk membuat diagnosis, tanpa kemudiannya perlu dia mempertahankan segala tindakan yang diambilnya.)

Soalan (3) Mengapa perlu pelajar perubatan lelaki dilatih mengendalikan kelahiran dan memeriksa alat kelamin wanita? Sepatutnya, doktor lelaki hanya perlu dilatih untuk merawat pesakit lelaki sahaja, sebagaimana juga doktor wanita hanya untuk mengendalikan pesakit wanita sahaja
.
Jawapan (3)
Sekolah-sekolah perubatan di dunia diamanahkan untuk melatih para doktor yang mempunyai kompetensi atau kemahiran asas dalam bidang perubatan. Termasuk dalam kemahiran asas tersebut adalah kebolehan memeriksa sistem reproduksi wanita dan lelaki serta mengendalikan segala masalah kesihatan yang berkaitan. Maka setiap pelajar perubatan lelaki mestilah belajar bagaimana hendak melakukan pemeriksaan dalaman (VE), membuat calitan Pap dan menyambut kelahiran bayi, sebagaimana juga pelajar perubatan perempuan mesti boleh memeriksa bahagian sulit badan lelaki dan memasukkan saluran tiub atau catheter ke dalam salur kencing lelaki.

Soalan (4) Mengapa ada segelintir doktor lelaki Muslim yang memilih kepakaran perbidanan dan ginekologi sebagai bidang pengkhususan mereka? Tidakkah mereka merasa berdosa apabila sentiasa melihat aurat wanita yang bukan isteri mereka?

Jawapan (4)
Soalan tersebut perlu dijawab sendiri oleh pakar O&G lelaki Muslim yang telah membuat pilihan tersebut.
Namun saya ingin menegaskan di sini, semua pakar O&G lelaki, baik yang Muslim atau yang bukan Muslim, yang saya kenali secara peribadi adalah terdiri dari pengamal perubatan yang amat professional dalam tugas mereka, amanah, berwibawa, cekap dan amat teliti menjaga kerahsiaan (confidentiality) pesakit. Mereka tidak menganggap amanah tugas menjaga dan merawat wanita yang memberi mereka kelebihan (advantage) untuk melihat aurat wanita sebagai satu kesempatan memenuhi nafsu syahwat yang liar. Sekiranya seseorang doktor itu melanggar batas kesusilaan dan mengeksploitasi pesakit yang mempercayainya, dia mesti diadukan kepada pihak atasan untuk diambil tindakan tegas, kerana tindakan tidak sopan itu mencalarkan kredibiliti dan integriti profesyen kedoktoran yang perlu sentiasa dipertahankan.

Diharapkan penjelasan yang diberikan dapat menyuluh sedikit pencerahan kepada kekaburan yang sekian lama berlegar di sekitar isu ini. Mudah-mudahan ia dapat membantu para bakal ibu dan ayah membuat keputusan terbaik, paling selamat dan paling bijak untuk kesejahteraan anak yang bakal lahir. Janganlah lantaran tegas mahukan kepatuhan kepada peraturan Islam, agama yang indah dan paling bertimbangrasa yang merupakan rahmat kepada sekelian alam ini, kita mengambil risiko besar mempertaruhkan nyawa ibu dan bayi dengan membuat keputusan terburu-buru dan kurang bijak, mengenepikan bantuan profesional dan terlatih. Dalam masa yang sama juga, janganlah kita terlalu mengambil enteng ataupun tidak langsung kisah dengan garispanduan dan peraturan agama yang bertujuan membimbing kita ke arah kebaikan semata-mata.

Nasihat Dr. Har kepada wanita dan suami yang mahu memastikan kehamilan dan kelahiran bayi kesayangan mereka terus menerus patuh-syariah (syariah - compliant) untuk melakukan beberapa langkah berikut :

Sekiranya mempunyai kelebihan rezeki dan kemampuan ekonomi, dapatkan rawatan dari pakar O&G wanita Muslimah yang mempunyai klinik di kebanyakan hospital swasta atau di klinik pakar khas di hospital awam. Mohon maaf kerana setakat ini, inilah satu2nya cara terbaik untuk memastikan kehamilan dan kelahiran bayi anda dijaga oleh seorang doktor Muslimah.


Nyatakan dari awal lawatan antenatal di klinik dan hospital awam, tentang hasrat dan permintaan anda meminta agar sekiranya perlu diperiksa bahagian dalaman dan dikendalikan proses kelahiran, seboleh mungkin oleh doktor atau perawat perempuan.


Kehadiran suami di sisi isteri semasa di bilik bersalin boleh membantu permintaan tersebut dipenuhi seboleh mungkin. Nyatakan sekali lagi hasrat dan hajat anda yang mahukan kehadiran doktor dan perawat wanita kepada petugas bilik bersalin ketika saat sakit bersalin tiba – dengan tegas namun penuh harapan, hormat dan sopan. Percayalah, anda akan dapati para petugas ini juga manusia biasa, yang mahu dihormati dan dihargai. InsyaAllah, hajat anda akan cuba dipenuhi oleh mereka.
Berdoa agar mendapat rezeki yang baik semasa hendak melahirkan – seperti kebetulan dalam shift tersebut, semua doktor yang bertugas adalah doktor perempuan. ( Ini pernah berlaku kepada beberapa orang pesakit saya yang gigih bermunajat sepanjang kehamilan, memohon Allah SWT menetapkan segala berjalan lancar menurut syariah.


Memohon kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui, agar pasukan doktor dan jururawat yang bertugas semasa saat kelahiran bayi kita nanti, adalah kelompok petugas yang paling cekap, berpengalaman dan berwibawa yang akan membantu kelahiran yang selamat, tanpa mengira apakah gender, agama anutan dan kepercayaan mereka.


Wallahu a'lam
Loves : Dr Har


drhar.blogspot.com


No comments:

Post a Comment