Pusat Media MH370 Bakal Ditutup
Pusat media MH370 di PWTC ditutup mulai 8 April
KUALA LUMPUR - Operasi pusat media mengenai kehilangan MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini akan dihentikan mulai 8 April.
Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan hari ini, hari terakhir pusat itu beroperasi 7 April. Kenyataan itu berkata keputusan menghentikan operasi pusat media berkenaan dipersetujui dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Teknikal hari ini.
"Semua kenyataan akhbar (jika ada) mulai 8 April, akan dihantar melalui e-mel secara terus kepada media melalui alamat e-mel yang diberi kepada pusat media itu. "Sekiranya terdapat keperluan untuk mengadakan sidang akhbar, jemputan akan dihantar kepada media melalui notis sewajarnya," kata kenyataan itu.
Sidang media harian diadakan di PWTC sejak 23 Mac, selepas pusat media di Hotel Sama-Sama berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, ditutup berikutan komitmen hotel itu terhadap tetamunya yang mempunyai kaitan dengan Grand Prix Formula One Malaysia, minggu lepas.
Pusat media itu dibuka Kementerian Pengangkutan sejak hari pertama pesawat MH370 hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac. Wakil 48 media tempatan dan lebih 100 media asing membuat liputan mengenai operasi mencari dan menyelamat pesawat itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment