Exco Kedah Terselamat Dari Keracunan Makanan di Majlis Kenduri di Tanjung Dawai



Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah Datuk Tajul Urus Mat Zain merupakan antara tetamu yang hadir pada kenduri kahwin di Kampung Huma, Tanjung Dawai dekat sini Sabtu lepas yang berlaku kes keracunan makanan menyebabkan empat kematian sehingga kini.

Tajul Urus yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Dawai berkata beliau hadir pada kenduri itu tetapi bernasib baik kerana hanya makan sedikit ayam masak merah itu dan terus mendapatkan rawatan di klinik selepas mengetahui kejadian itu.

 "Saya memang tak suka makan ayam. Saya hanya ambil sedikit sahaja ayam masak merah tu. Saya pun risau dan bila saya periksa saya selamat dan tak ada simptom seperti cirit birit serta muntah-muntah," katanya yang mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir melawat mangsa keracunan di Hospital Yan di sini hari ini.

Pada sidang akhbar di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani petang tadi, Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah Dr Ismail Abu Taat berkata hidangan ayam masak merah pada kenduri kahwin itu dicemari bakteria Salmonella, menjadi punca ramai tetamu keracunan makanan.

Sementara itu, Tajul Urus berkata pihak Hospital Yan terpaksa menggunakan bilik pembedahan untuk menempatkan pesakit yang mengalami keracunan makanan kerana jumlah mereka agak ramai.Beliau berkata walaupun mereka ditempatkan di bilik pembedahan yang kini tidak lagi digunakan, kesemua mangsa diberi rawatan yang terbaik dalam tempoh 24 jam.

"Apa yang penting doktor di hospital ini beri rawatan yang terbaik kepada pesakit sejak malam Sabtu lepas lagi," katanya.   Tajul Urus berkata setakat ini 62 mangsa masih mendapatkan rawatan di Hospital Yan.   Beliau turut memberi sumbangan kepada mangsa yang terlibat. Tajul Urus kemudian melawat mangsa yang menerima rawatan di Hospital HSAH.

Semalam, tiga mangsa keracunan makanan meninggal dunia selepas menghadiri kenduri kahwin itu manakala hari ini seorang lagi meninggal dunia.   Mereka ialah Nurshazana Mohd Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak, Bedong, yang meninggal dunia kira-kira pukul 12.45 tengah hari semalam dan Mohammad Nor Rahmad Yusof, 11, dari Kampung Singkir Laut, Yan meninggal dunia kira-kira 1 tengah hari.

Seorang lagi mangsa Ibrahim Mohamad, 62, berasal dari Alor Jejawi, Kuala Besut, Terengganu, meninggal dunia di HSAH kira-kira pukul 6.30 petang semalam.   Hari ini, seorang lagi mangsa Wan Razali Yaakob, 56, dari Kampung Banggol Belau, Merbok disahkan meninggal dunia pukul 7.15 malam selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HSAH pagi semalam. - Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...