Enam anggota polis kes Lahad Datu ditemui mati dalam keadaan ngeri.

KOTA KINABALU 19 Ogos - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, enam anggota polis yang terbunuh dalam serangan hendap di Semporna pada 2 Mac tahun lalu ditemui dalam keadaan mengerikan.

Pegawai Penyiasat, Inspektor Jamirin Kintai, antara anggota pasukan yang bertanggungjawab mengeluarkan mayat anggota polis berkenaan dari Kampung Simunul, Semporna pada 6.45 petang pada 3 Mac tahun lalu berkata, dua daripada mangsa telah dipenggal dan dicacatkan.

"Sarjan Baharin Hamid dicacatkan dengan otak dan mata kanan hilang daripada tengkorak dan terdapat kelaran pada mukanya.

"Leher Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran pula telah dipenggal dan terdapat luka pada badan, kulit dan dagingnya. Mukanya telah dikoyakkan dan hanya kelihatan tulang muka," katanya.

Jamirin juga memberitahu bahawa leher Lans Koperal Salam Togiran "hampir putus dengan kepalanya hanya melekat pada tubuhnya oleh beberapa inci kulit pada lehernya.

"Kesan kelaran terdapat pada kepala dan badan Sarjan Abdul Aziz Sakiran dan Supritendan Ibrahim Lebar, manakala Asisten Supriten-dan (ASP) Michael Padel mengalami kecederaan pada bahu dan dada," katanya.

Semasa pemeriksaan balas, Jamirin berkata, beliau mendapati insiden melibatkan enam anggota polis itu ada kaitan dengan pencerobohan oleh kumpulan lelaki bersenjata Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, pada Februari tahun lalu.

Sementara itu, Pegawai Cawang-an Khas Bukit Aman, Asisten Supritendan Mohamad Hasnal Jamil memberitahu, tiga daripada tertuduh telah dinamakan dalam pintasan komunikasi dilakukan di Bukit Aman dari 14 hingga 17 Februari tahun lalu berhubung pencerobohan di Lahad Datu.

Beliau mengenal pasti tertuduh berkenaan sebagai Salib Akhmad Emali, Julham Rashid dan Al Wazir Osman @ Abdul.

Katanya, lapan nombor telefon bimbit telah dipintas, dengan tiga nombor iaitu 019-5398122 digunakan Salib Akhmad; 012-8384472 digunakan Julham dan 014-6774272 digunakan individu dikenali sebagai 'Imam Tua' dan kemudiannya dikenal pasti sebagai Al Wazir, adalah paling aktif berkomunikasi dengan satu lagi nombor 014-2847213, digunakan oleh seseorang dikenali Raja Muda Agbimuddin.

"Bagaimana anda tahu nama-nama individu ini?" soal Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Mohamad Hasnal: "Kami telah memantau komunikasi pengguna nombor berkenaan dan nama mereka disebut."

Pegawai Cawangan Khas itu memberitahu, beliau telah diarahkan oleh Allahyarham Ibrahim untuk menaiki penerbangan ke Lahad Datu pada 18 Februari tahun lalu untuk menjalankan tugas pengawasan terhadap tiga individu itu selama seminggu bermula 19 Februari.

Katanya, pada 25 Februari tahun lalu, beliau memberi taklimat kepada pegawai polis, Asisten Supritendan Noraidin Awang Maidin, di Balai Polis Tungku di Lahad Datu untuk menahan Salib Akhmad di Ladang Kelapa Sawit Abadi Emas di Tungku.

Pada 1 Mac tahun lalu, kata-nya, beliau memberikan maklumat berkaitan di Balai Polis Semporna untuk menahan Julham di Kampung Pangkalan Badai, Kunak dan Al Wazir di Semporna. - BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...