4 faktor kemenangan bergaya BN di PRK Pengkalan Kubor


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kepada puluhan wartawan bahawa beliau sendiri agak terperanjat dengan majoriti besar kemenangan BN di Pengkalan Kubor.
Dalam sidang media sejurus selepas pengumuman kemenangan BN di Sekolah Datuk Biji Wangsa Tumpat berkata kemenangan BN
adalah keputusan yang tidak jangka.
Pertama; keberkesanan jentera, kedua latar belakang calon yang baik, penjelasan isu royalti minyak yang berjaya menangkis fitnah dan perpecahan dalam pakatan pembangkang.
Menurut Muhyiddin, kemenangan itu juga agak mengejutkan kerana BN memperoleh majoriti undi yang lebih besar berbanding pada pilihan raya umum ke-13.
"Kemenangan BN ini sesuatu yang luar biasa dan antara faktornya adalah keberkesanan jentera BN, latar belakang calon yang baik dan isu-isu seperti royalti minyak yang berjaya ditangkis dengan baik.
"Antara lain kerana masalah dalaman Pakatan Rakyat yang menyebabkan ada antara pengundi yang bosan dan tidak mahu memilih mereka," katanya.
Beliau yang menghubungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memberitahu kejayaan BN itu turut menyampaikan ucapan terima kasih PM kepada pengundi Pengkalan Kubor.
Najib kini berada di New York untuk menghadiri sidang majlis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Berada dikanan Muhyiddin adalah Pengarah Pilihanraya BN Pengkalan Kubor Datuk Seri Mustapa Mohamad (Tok Pa), yang mendapat ucapan tahniah dan selamat hari jadi daripada petugas media tadi.
Strategi kempen Tok Pa ternyata berkesan di Pengkalan Kubor. Muhyiddin sendiri memuji Tok Pa kerana "menjadi pengarah pilihanraya yang cemerlang."
Menurut Muhyiddin kemenangan BN ini boleh diibaratkan sebagai gelombang merah baharu BN di Kelantan iaitu negeri yang ditadbir dan menjadi kubu kuat PAS.
"Keputusan ini luar biasa terutama dari segi majoriti...ini suatu kemenangan yang besar bagi BN.
"Saya yakin ini satu gelombang merah yang baharu. Mungkin inilah satu permulaan yang baik dan kita harap ia (sokongan kepada BN) terus meningkat pada masa akan datang," katanya
Bagi calon BN, Haji Mat Razi pula kemenangan ini merupakan satu hadiah kepada pengundi DUN Pengkalan Kubor.
"Mereka mahu lihat Pengkalan Kubor dibangunkan, insha allah saya akan melihat berbincang apa yang patut didahulukan," ujar beliau yang menjanji menjadi wakil rakyat untuk semua penduduk Pengkalan Kubor.
BN mempertahankan kerusi Pengkalan Kubor selepas Haji Mat Razi memperoleh majoriti 2,635 undi.
Majoriti undi juga meningkat 899 berbanding 1,736 undi yang diperoleh penyandangnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pada pilihan raya umum ke-13.
Mat Razi, 48, meraih 9,961 undi, mengalahkan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, yang mendapat 7,326 undi. Bagaimanapun calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, 47, hilang wang pertaruhan selepas memperoleh 38 undi sahaja.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Sobri Ramli di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Biji Wangsa di Tumpat pukul 9 malam.
Sebanyak 73 peratus atau 17,555 pengundi daripada 24,039 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.
Hadir sama pada majlis pengumuman rasmi keputusan itu Setiausaha BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan.
Bagaimanapun, calon PAS, Wan Rosdi dan calon Bebas, Izat Bukhary tidak hadir di pusat penjumlahan undi itu.
PRK itu diadakan ekoran kematian Noor Zahidi pada 20 Ogos lepas.
Pada PRU ke-13, Allahyarham Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.
Mat Razi merupakan bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat dan Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Tumpat dan dikenali dengan panggilan ustaz kerana beliau mengasaskan Pondok Simpangan di Tumpat sebagai tempat untuk mempelajari al-Quran dan ilmu agama.-AGENDA DAILY

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...