Mungkin sudah tidak ada idea atau buntu untuk menahan rakyat daripada keluar beramai-ramai menyambut kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Kerajaan Pas Kelantan telah menaikkan papan tanda besar memaparkan Jalur Gemilang yang telah ditukar warna serta perhimpunan haram Bersih 3.0.
Papan tanda yang dinaikkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Pas Kelantan itu telah menukar jalur putih pada warna bendera tersebut kepada warna kuning selari dengan warna rasmi Bersih. Ekoran daripada itu dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Majlis Intelektual Muda Darul Naim (Minda) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kelantan membuat laporan polis supaya satu siasatan terperinci dapat dijalankan bagi memastikan penghinaan kepada negara tidak diteruskan pada masa akan datang.
Pengerusi Minda, Kamarudin Mohd. Kasim berkata, papan tanda tersebut juga menghina undang-undang negara kerana memaparkan gambar perhimpunan Bersih 3.0 yang diharamkan. Beliau berkata, pihak yang memasang papan tanda berkenaan tidak bertanggungjawab sehingga sanggup menghina negara sendiri. “Sebagai sebuah NGO yang mewakili anak muda, kami merasa cukup terkilan dan ia tidak wajar sama sekali, papan tanda yang turut tertera nama Urusetia Penerangan Kerajaan Pas Kelantan itu jelas menunjukkan golongan ini tidak menghiraukan undang-undang dan kedaulatan negara.
“Untuk apa menukar warna putih pada Jalur Gemilang kepada warna kuning? Kenapa perlu diletakkan gambar perhimpunan Bersih 3.0 sedangkan ia perhimpunan haram yang mengancam keselamatan negara. “Perbuatan ini mencerminkan jiwa dan watak pemimpin pembangkang yang sengaja memaparkan wajah yang penuh dengan dendam kepada negara sendiri,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Kota Bharu.
Sementara itu, Setiausaha Perkasa Kelantan, Sharif Mahmood berkata, tindakan menukar warna Jalur Gemilang adalah satu perbuatan biadap yang tidak dapat diterima sama sekali. “Ini perbuatan biadap yang ditunjukkan oleh pemimpin pembangkang. Lebih memalukan lagi papan tanda ini dibuat atas nama kerajaan negeri dan bukannya parti. “Sebagai sebuah kerajaan, pemimpin Pas harus menunjukkan contoh yang terbaik dan bukannya membuat provokasi terhadap rakyat supaya menentang undang-undang,” katanya.-KKB
No comments:
Post a Comment