Hasan Ali Tak Risau Orang PAS Tak Sokong Dia!

Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali tidak pernah risau mengenai masalah kehilangan sokongan dalam Pas ekoran beberapa tindakannya yang dikatakan berlawanan dengan parti hingga menyebabkan beliau dikritik pimpinan dan rakan seperjuangan yang lain.

Ini termasuk kehadiran dan penglibatannya dalam Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (Himpun) yang berlangsung di Stadium Shah Alam Sabtu lalu yang bertujuan menyedarkan umat Islam mengenai bahaya murtad.

Hasan, bekas Naib Presiden Pas berkata, apa yang paling penting baginya adalah segala tindak tanduknya itu dilakukan dengan kesedaran dan rasa penuh tanggungjawab menunaikan amanah ALLAH.

“Itu yang lebih penting bagi saya, bukannya pangkat, populariti dan kekayaan. Bukan saya tak sayang parti tetapi di tahap tertentu dalam perjuangan, parti pun perlu letak ke tepi demi melaksanakan tanggungjawab kepada ALLAH SWT,” katanya.

Mengenai Himpun katanya, beliau hadir kerana menganggap perhimpunan seperti itu sangat mustahak dan selari dengan perjua-ngannya menegakkan akidah.

“Ini semata-mata mengenai akidah, tiada kena mengena dengan sebarang parti politik,” katanya.

Hasan berkata, seruan untuk beliau menyelamatkan akidah umat Islam adalah daripada perintah ALLAH SWT, manakala arahan yang melarangnya menghadiri perhimpunan itu daripada sesama manusia.

“Oleh itu, saya memilih untuk patuhi titah ALLAH SWT. Ingin saya tegaskan di sini perjuangan dalam politik ada hadnya. Kecaman yang saya terima daripada manusia langsung tiada kesan. Apa yang lebih saya takutkan adalah kecaman ALLAH SWT, bayangkan jika tuhan mengecam kita,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, beliau turut menegaskan prinsip perjuangannya yang melihat politik hanya platform untuk menyampaikan pesanan agama kepada seberapa ramai umat Islam walaupun menyedari perjuangan itu akan sentiasa mendepani halangan.

“Saya tinggalkan kehidupan dahulu kerana mahu menyebarkan mesej Islam. Saya tidak menyesal menceburi bidang politik, malah lebih menyesal jika mesej tidak sampai kepada umum,” katanya-SH

1 comment:

Captain said...

Subhanallah, Maha suci Allah.
way
"Oleh itu, saya memilih untuk patuhi titah ALLAH SWT. Ingin saya tegaskan di sini perjuangan dalam politik ada hadnya. Kecaman yang saya terima daripada manusia langsung tiada kesan. Apa yang lebih saya takutkan adalah kecaman ALLAH SWT, bayangkan jika tuhan mengecam kita"

Ayat ini yang patut ada pada pemimpin Islam..

Allahu Akbar!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...