JKSB: Pampasan RM10,000 kepada mangsa runtuhan

Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), syarikat pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang, akan
membayar pampasan RM10,000 kepada setiap orang awam yang menjadi mangsa kejadian runtuhan tanjakan konkrit dan besi penyambung susur keluar jambatan itu di kawasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini malam tadi.
    
Pengarah Urusan JKSB Datuk Dr Ismail Mohamad Taib berkata kejadian runtuhan itu di luar jangkaan syarikat kerana projek itu telah melalui tiga fasa dan tidak pernah mengalami sebarang masalah.
    
Katanya sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyiasat punca kejadian dan jika jawatankuasa itu dapat menyelesaikan siasatan dalam tempoh kurang dari sebulan, ia tidak akan menjejaskan tempoh siap jambatan berkenaan.
    
"Kejadian berlaku kira-kira 6.40 petang semalam apabila dua bahagian konkrit, 180 ton konkrit keras dan 100 ton konkrit lembut, runtuh," katanya.
    
Setakat ini polis mengesahkan seorang wanita tempatan Thilasheni Rajendran, 24, cedera akibat terkena serpihan runtuhan pada bahagian tangan.
    
Ketika kejadian, Thilasheni sedang memandu dan beliau sempat memberhentikan kenderaannya pada jarak kira-kira 2 meter dari tempat kejadian manakala rakannya Gajashaantini Gajanujan, 24, yang turut berada dalam kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
    
Selain itu dua pekerja asing iaitu warga Indonesia yang dikenali sebagai Slamat, 36, dan warga Myanmar Tin Maung Iwin, 39, turut cedera dan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang. Keadaan mereka dilaporkan tidak serius.
    
Kedua-dua pekerja asing itu dikatakan sedang bertugas di tapak binaan ketika kejadian.
    
Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata lebih 300 anggota pasukan penyelamat dari bomba dan polis masih menjalankan kerja untuk mengesan mangsa di dalam sebuah lagi kenderaan yang dipercayai terperangkap dalam runtuhan itu.
    
Katanya keadaan dan jumlah mangsa dalam kereta jenis Perodua Kelisa yang terperangkap dalam runtuhan itu belum dapat disahkan.
    
Beliau berkata pasukan penyelamat juga terpaksa menggunakan perkhidmatan kren yang lebih berat apabila kren yang disediakan oleh syarikat pembinaan itu gagal mengangkat tanjakan konkrit yang runtuh itu.
    
Projek pembinaan jalan susur keluar jambatan itu diurus kontraktor Cergas Murni Sdn Bhd. - Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...