BELUM lagi memulakan ujian pemilihan bersama pasukan Cardiff City, penyerang kebangsaan, Safee Sali sudah mengharungi dugaan pertama semalam.
Selain berkelana seorang diri tanpa ditemani keluarga, Safee juga difahamkan mengalami masalah penerbangan dan hanya dijangka tiba di Cardiff dari Doha, Qatar lewat petang semalam.
Pengurus Safee, Zakaria Ab. Rahim yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun berkata, masalah tersebut di jangka tidak menjejaskan konsentrasi dan prestasi Safee dalam usaha memikat pihak pengurusan Cardiff City.
Menurutnya, terdapat beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan sehingga menyebabkan penerbangan Safee tergendala dan berlepas lewat dari waktu yang sepatutnya pukul 3.35 pagi semalam.
Selain itu katanya, Safee juga akan menjalani ujian pemilihan seorang diri tanpa ditemani isteri, Sabarina Yusof dan anak mereka, Syaza Syaqina kerana mahu memberikan komitmen 100 peratus sepanjang berada di Cardiff kelak.
“Malah, saya juga hanya akan mengiringi Safee ke Cardiff pada minggu depan kerana masih mempunyai beberapa urusan penting di tanah air.
“Inilah pengorbanan yang terpaksa dilakukan Safee dalam usaha memberikan yang terbaik supaya dapat menyarung jersi Cardiff City,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Safee semalam telah berlepas ke Cardiff dalam usaha menjadi pemain pertama negara dapat beraksi bersama kelab England.
Begitupun kata Zakaria, Safee dijangka tidak kesunyian kerana bakal bertemu peminat-peminat bola sepak negara di Cardiff sempena sambutan Hari Malaysia yang dijangka diadakan di situ pada 25 September depan.
“Selain itu, Safee juga akan menginap di sebuah hotel yang jaraknya tidak sampai lima kilometer dari tempat latihan dan dibiayai sepenuhnya oleh Cardiff City.
“Saya percaya Safee tabah dan kuat ketika merantau di tempat orang memandangkan dia telah biasa dengan situasi itu sebaik menyarung jersi kelab Indonesia, Pelita Jaya sebelum ini,” katanya.-kosmo
AS doakan Safee Sali berjaya menjalani ujian tersebut dan seterusnya melayakkan beliau menyarung jersi Cardiff City. Malaysia Boleh!
No comments:
Post a Comment