Tiba Masa Orang Melayu Bersuara tentang Diskriminasi..



Penemuan oleh dua pensyarah kanan dari Universiti Malaya, bahawa graduan Melayu didiskriminasi oleh syarikat Cina dan antarabangsa apabila memohon pekerjaan berbanding graduan Cina tidak menghairankan. Kalangan Melayu sudah pun mengetahui bahawa pemohon Melayu tidak diberikan pertimbangan saksama berbanding pemohon bangsa lain.

Jadi tidak menghairankan kenapa jumlah Melayu yang menyandang jawatan menengah, apatah lagi jawatan tinggi termasuk pengurusan di syarikat milik Cina dan antarabangsa yang dipimpin bukan Melayu (rakyat Malaysia) amat kurang. 
Pendedahan kedua-dua mereka itu, Dr Lee Hwok Aun dari Jabatan Pengajian Pembangunan dan Dr Muhammed Abdul Khalid dari Universiti Malaya, bagaimanapun amat menakjubkan. 

Melayu tak bersuara

Hasil kajian mereka memberi gambaran bagaimana orang Melayu walaupun jelas didiskriminasi tetapi mereka tidak pula bersuara mengenai keadaan yang tidak harus dipertahankan itu. Kaji selidik dua pensyarah kanan itu mendapati kedudukan etnik seseorang pemohon diambil kira untuk dipanggil temu duga bukannya kedudukan resume diajukan pemohon.

Penemuan itu dibentangkan oleh Dr Hwok Aun di seminar mengenai ‘Tahap diskriminasi: Pengambilan Graduan dan Bangsa di Malaysia’ yang dianjurkan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, Selasa lalu.

Mereka menjalankan kajian selama enam bulan dengan menghantar 3,000 permohonan menggunakan resume rekaan kepada syarikat milik Cina dan antarabangsa, kemudian menganalisis jawapan yang diterima daripada syarikat itu. 
Didapati 22.1 peratus pemohon berbangsa Cina dipanggil untuk temu duga oleh syarikat milik Cina berbanding hanya 4.2 peratus pemohon Melayu. 

Mereka berhati-hati menghantar resume supaya tidak ada perbezaan ketara antara pemohon Melayu dan Cina untuk mengetahui apakah panggilan untuk temu duga bergantung kepada etnik.

Dr Hwok Aun bagaimanapun menegaskan, ia dilakukan hanya untuk mengetahui kedudukan pengambilan mereka yang baru lulus, bukannya untuk mengetahui kenapa graduan Cina menjadi pilihan. Eksperimen mereka juga menunjukkan bahawa lulusan daripada IPTA ternama seperti UM, UKM, UPM, USM diutamakan berbanding IPTA lain. Demikian juga antara IPTS mereka lebih cenderung untuk memilih graduan dari Universiti Tunku Abdul Rahman iaitu universiti tajaan MCA.

Mereka berpandangan bahawa kerajaan harus melihat kedudukan yang tidak menyenangkan itu ditangani bagi memastikan diskriminasi tidak berterusan.

Bukan pilihan syarikat antarabangsa

Lebih mengharukan, kajian di syarikat antarabangsa mendapati 22.9 peratus Cina dipanggil untuk temu duga berbanding tidak ada satu pun graduan Melayu. 

Apakah yang boleh disimpulkan daripada eksperimen itu? Nyata sekali kedudukan diskriminasi demikian tidak boleh dipertahankan, malah Dr Hwok Aun sendiri mengakui keadaan demikian perlu ditangani dan memerlukan perbincangan menyeluruh untuk mewujudkan keadaan lebih saksama. Beliau juga mencadangkan kerajaan menggubal Akta Peluang Saksama serta menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk memantau pelaksanaannya.

Apakah yang boleh dirumuskan daripada pendapat itu? Apakah ia tidak menunjukkan Melayu biasanya menerima saja diskriminasi terhadap mereka tanpa mengheboh atau mengetengahkannya?
Tidak seperti bukan Melayu yang sering berkokok bagaimana mereka kononnya didiskriminasi dalam perkhidmatan awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Padahal kedudukan sebenarnya tidak seperti apa yang mereka laungkan.

Demikian juga keadaannya dengan perkara yang tidak habis-habis ditimbulkan apabila beberapa orang India mati dalam tahanan. Gambaran yang diberikan termasuklah oleh media arus perdana tertentu, apatah lagi portal berita yang kononnya bebas tetapi sebenarnya tidak, bahawa tahanan India sering menghadapi kemungkinan maut dalam tahanan.

Walhal, mengikut statistik diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Paul Low, bahawa dalam tempoh 10 tahun antara 2000 dan 2010, seramai 64 orang Melayu meninggal dalam tahanan berbanding 30 Cina dan 28 India.

Sebenarnya kematian dalam tahanan tidak sepatutnya berlaku tanpa mengambil kira etnik tahanan terbabit. Jadi ia amat menjengkelkan apabila gambaran yang diberikan sejak beberapa hari lalu seolah-olah suspek India saja yang menerima layanan buruk dan tidak sepatutnya itu.

Malangnya di Malaysia, gambaran yang sering dipaparkan ialah Melayu selalunya dilindungi atau diberi keutamaan. Walhal keadaan sebenarnya tidak. Orang Melayu sendirilah yang harus dipersalahkan kerana tidak mahu bersuara apabila mereka didiskriminasi.

Ia juga menunjukkan bahawa orang Melayu sememangnya tidak suka menghebohkan keadaan dan terima saja keadaan sebagai takdir. Mungkin masa sudah tiba bagi orang Melayu tidak lagi berdiam diri tetapi bersuara seperti yang lain apabila merasakan mereka ditindas. Demikian juga NGO Melayu perlu lebih prihatin terhadap apa yang Melayu hadapi. 

1 comment:

Jane Duncan said...

Sebagai pendidik aku masukkan perbincangan mengenai sikap chauvisit Cina terhadap DYMM di Pertuan Agong dan penghinaan mereka terhadap institusi Raja dan Agama Islam di negara ini. Aku bincang juga mengenai bagaimana tolerannya orang Islam terhadap kepercyaan orang Cina dan masih sekian lama menghormati apa dan bagaimana orang Cina menyembah tuhan-tuhan mereka.Aku nyatakan juga betapa bahayanya jika kita tidak mahu memnghormati antara satu sama lain. Dalam kuliah aku hanya ada seorang sahaja pelajar bukan Islam. Dari maklum balas yang aku terima, aku hairan kerana aku dikatakan sebagai kurang sensitif terhadap perkara seperti ini. Aku hairan sebenarnya dengan otak pelajar Melayu. Mereka kononnya sangat menjaga "hati orang" tetapi dalam masa yang sama "sanggup mengkafirkan" pula bangsa sendiri!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...