Pengarah filem Ahmad Idham enggan melayan komen dan persepsi negatif
segelintir pihak yang mengecamnya kerana dianggap tidak boleh menerima
pandangan ahli politik Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) mengenai filem
arahannya, Hantu Bonceng.
Terdahulu, Ahli Parlimen Rembau itu mengemas kini status akaun
Twitternya selepas malam gala filem Bunohan pada minggu lalu, sebagai
berkata:
“Bunohan adalah filem yang cemerlang. Metafora yang mendalam, dialog
hebat dan sinematografi ulung. Sama sekali bukan genre seperti Hantu
Bonceng. (Bunohan) mengangkat seni perfileman Malaysia.”
Ahmad Idham berkata, dia enggan mengulas lanjut mengenai isu terbaru ini
kerana bimbang isu yang berkaitan dengan politik ini akan terus diputar
belit dan disalah ertikan oleh khalayak umum.
“Saya sudah jangka, apabila ia melibatkan politik, pasti akan jadi lain
dan mengundang pelbagai persepsi. Setiap perkataan yang dikeluarkan ahli
politik sememangnya meninggalkan impak dan persepsi kepada khalayak.
“Saya tidak mahu melayan persepsi khalayak yang tidak memahami keadaan
sebenar dan sebab di sebalik tindakan saya mempersoalkan teguran KJ
dalam Twitter,” katanya..
Ahmad Idham menegaskan dia bukan tidak boleh menerima teguran dan
kritikan orang lain terhadap karyanya. Cuma, dia berasa terkilan dan
pelik kerana komen tersebut dikeluarkan oleh KJ tanpa beliau mengetahui
senario sebenar industri perfileman tanah air.
“Saya bukan tidak boleh ditegur atau dikritik tetapi saya jadi tergamam
dengan komen beliau (KJ) dalam akaun Twitter itu seolah membandingkan
filem saya, Hantu Bonceng dengan Bunohan.
“Apakah rasional komen sebegitu dikeluarkan tanpa dia mengetahui punca
dan sebab filem-filem ringan seperti Hantu Bonceng terus dihasilkan
dalam industri filem tempatan?
“Adakah dia tahu realiti sebenar dan kesukaran penggiat seni sehingga
memaksa kami mengeluarkan filem-filem ringan yang mudah dijual dan
diterima, sekaligus menjana pendapatan industri?” katanya.
Justeru itu, Ahmad Idham berkata adalah tidak wajar komen sedemikian
dikeluarkan oleh KJ kerana ia seolah memperlekehkan usahanya untuk
mengembangkan industri filem tempatan biarpun berhadapan dengan pelbagai
kekangan.
“Saya tidak marah atau melenting tetapi terkejut kerana komen begitu keluar daripada pemimpin yang saya kagumi dan hormati.
“Saya tidak akan suka-suka buat filem ringan seperti Hantu Bonceng jika
tiada sambutan. Sebagai penerbit, sudah tentu saya mahu terus berkarya
dan menjana pendapatan daripadanya.
“Malah, kewujudan filem-filem ringan sebeginilah yang menggalakkan
perkembangan industri filem yang kecil dan penuh kekangan selama ini,”
katanya.
Terbaru, pemilik syarikat produksi Excellent Pictures Sdn Bhd itu kini
sibuk menjalani latihan teater muzikal arahannya, Gerimis Mengundang.
Ia bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 27 Mac sehingga 8 April depan.
No comments:
Post a Comment