Artikel Terbaru Dr Asri: Apa yang saya lalui tentang Yahudi
Apa yang saya lalui tentang Yahudi
DR MOHD ASRI 23 Mac 2012
Semalam saya bermusafir dari UK ke Jordan. Saya hadir memenuhi undangan pelajar Malaysia di sini. Ada seminar yang sedang berlangsung. Sebanyak empat sesi untuk saya. Asalnya, saya macam ‘berusaha’ untuk tidak memenuhi undangan yang datang daripada pelbagai pihak sepanjang berada di Oxford kerana ingin menumpukan kepada tugasan saya. Pelbagai jemputan khususnya daripada pelajar Malaysia dari Eropah, saya masih tidak tangguhkan. Saya pernah berkata kepada beberapa sahabat "rasanya jemputan yang saya dapat melebihi hari-hari yang ada." Tapi, saya terima undangan dari Jordan, sekalipun jauh selama lima jam penerbangan.
Sedangkan saya baru sahaja selesai ibadah umrah beberapa hari lepas di Mekah. Saya datang juga kerana di sini tempat saya belajar dahulu. Saya ingin mencium bau padang pasir dan udaranya yang lama saya tinggalkan. Saya ingin menikmati ‘maqlubah’, kunafah, mansaf dan lain-lain hidangan Jordan. Namun lebih penting, saya rindu ingin melihat wajah guru-guru saya. Kata orang Melayu "tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain." Saya pulang dari Jordan pada 1995, setelah hampir lima tahun berada di sini. Saya belajar ijazah pertama Bahasa Arab dan Syariah di University of Jordan. Pulang ke Malaysia ketika usia masih 20an. Kini baru saya datang kembali setelah menjejak kaki ke pelbagai benua dan negara.
Jika imam yang agung dan besar seperti al-Imam al-Syafi’i itu berubah pandangan dan pendapat setelah melalui pelbagai kembara, pastinya insan kerdil seperti saya terdedah kepada perubahan. Namun, kesan dan pengaruh pengalaman mewarnai banyak perkara dalam hidupan.
Isu Yahudi
Di Malaysia sekarang timbul isu Yahudi. Sesiapa yang pernah hidup di Jordan terutama pada era saya berada dahulu yang mana Perang Teluk memuncak, akan tahu betapa Israel dan Yahudi menjadi ‘zikir’ bicara setiap rakyat Jordan.
Kedudukan Jordan yang bersempadan dengan Israel dan jumlah orang Palestin yang memenuhi pelbagai ruang di negara ini menjadikan isu Palestin sentiasa segar. Di sinilah saya mengikuti pelbagai aktiviti yang kesemuanya ke arah pembebasan Palestin dan penghapusan Yahudi. Demonstrasi, khutbah, ceramah, nasyid, syair dan segala pementasan seni dan segala berasaskan isu Palestin dan Israel. Guru-guru saya di masjid seperti as-Syeikh Dr Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, as-Syeikkh Dr Hammam Said, as-Syeikh Dr Muhammad Abu Faris dan lain-lain merupakan lambang rakyat dalam menentang Yahudi. Di universiti juga demikian. Kawan-kawan Arab ramai yang bersemangat jihad. Kadang-kadang kami ponteng kelas kerana menyertai demonstrasi anti-Yahudi.
Sehingga saya terfikir untuk pergi berperang di Palestin dan mati syahid di sana. Usia yang teramat muda, yang baru sahaja meninggalkan alam remaja ketika itu menjadikan segala slogan-slogan itu berkobar terbakar dalam darah dan perasaan. Apa tidaknya, nasib Palestin dan kekejaman Yahudi yang disaksikan saban hari. Di Jordan inilah kami menghafal slogan-slogan bersemangat menentang Yahudi. Dalam demonstrasi, slogan-slogan seperti Khaibar, Khaibar Ya Yahud, Jaisyu Muhammad saufa ya’ud (Khaibar! Khaibar! wahai Yahudi! Tentera Muhammad akan kembali) berkumandang di sana sini. Lirik-lirik nasyid juga penuh dengan isu Yahudi. Kami menghafal dan mendendangkannya. Maka Yahudi isu asas di sini. Bak kata guru-guru kami; kerana Yahudi itu isu asas, maka Surah al-Isra ataupun Bani Israel itu berada paling tengah al-Quran.
Yahudi di Barat
Apabila saya melawat Berlin, Jerman pada tahun 2009, saya melihat gambaran yang lain cuba diberikan. Yahudi dilihat sebagai mangsa kekejaman Hitler. Dibuat memorial khas untuk mengenang Yahudi yang menjadi mangsa pembunuhan di Eropah. Walaupun banyak yang boleh dipersoalkan. Apabila saya ke Oxford sekarang, saya mendapati betapa ramai penulis Muslim di Barat membincangkan mengenai Yahudi di sudut ia sebagai salah satu agama tanpa isu Palestin. Maka Yahudi dilihat sebagai agama seperti agama Kristian. Emosi Palestin tidak berperanan. Sementara di pihak sebahagian penulis dan media Barat pula menjadikan isu Israel itu sebagai asas dalam menilai seseorang tokoh Muslim.
Sesiapa yang tidak mengiktiraf Israel tidak akan mendapat reda Barat sekalipun dia seorang pemikir yang hebat. Sehebat mana pun ilmunya, seluas mana pun toleransi dan keterbukaannya dengan pihak yang lain, namun jika dia tidak mengiktiraf Israel, maka dia tidak akan digolongkan dalam ‘moderate Muslim’.
Ini persis seperti yang disebut oleh Louay Safi dalam artikelnya Reflection on Ijtihad and Moderate Islam, kata beliau: “I would, rather, underscore an important point: The effort to dismiss authentic Muslim voices when they express views critical of American foreign policy or Israeli policies in the West Bank and Gaza violates the essence of democratic politics. We must all recognize that efforts to intimidate and marginalize voices critical of Israel and American foreign policy are anti-democratic and extremist. Therefore, I fully agree with Graham Fuller that the term moderate Muslim is subject to an unrealistic litmus test regarding views on Israel that excludes the majority of serious Muslims voices, thereby dismissing potential interlocutors. I would add that such isolation tactics work both ways in a world in which the United States increasingly finds itself unable to sustain its unilateralist approach to world politics”.
Maka, disebabkan hal inilah yang menyebabkan sebahagian tokoh-tokoh Muslim tidak mahu atau tidak mampu mengkritik Israel. Hakikatnya, jika seseorang tokoh Muslim itu takut mengkritik Israel dan dasar luar Amerika, dia sebenarnya gagal menghayati asas demokrasi yang sepatutnya dipertahankan. Juga tipis nilai ukhuwah islamiahnya.
Yahudi dan Islam
Yahudi sebenarnya bukan seperti agama lain. Yahudi itu agama dan keturunan. Itulah Yahudi yang asal. Seperti mana yang saya tegaskan bahawa Islam adalah agama yang menghormati semua keturunan manusia. Islam tidak menghukum seseorang disebabkan keturunannya.
Tidak mungkin ALLAH SWT menghukum ciptaan-Nya, yang bukan pilihan makhluk yang dicipta itu. Keturunan bukan pilihan seseorang. Juga, Islam juga tidak memaksa orang menganut Islam dan memerangi serta menghukum hanya kerana perbezaan agama. Demikian seseorang Yahudi tidak boleh dihukum hanya kerana dia berketurunan Yahudi atau beragama Yahudi. Permusuhan berlaku antara masyarakat Yahudi dan Nabi Muhammad SAW dalam sejarah disebabkan sikap permusuhan mereka terhadap Islam, bukan keturunan mereka. Maka, permusuhan umat Islam dan Yahudi pada hari ini juga sepatutnya atas isu kekejaman mereka di Palestin.
Sesiapa dalam kalangan Yahudi yang tidak terlibat, maka dia tidak dimusuhi. Dalam sejarah Nabi; Baginda mempunyai isteri yang merupakan seorang Yahudi iaitu Safiyyah binti Huyai. Sahabat Nabi yang dianggap ilmuwan ‘Abdullah bin Salam, juga seorang Yahudi. Baginda dalam urusan muamalat pernah menggadai barang kepada Yahudi. Baginda juga menziarahi Yahudi yang sakit. Ini menunjukkan kita boleh berbuat baik kepada Yahudi atas dasar persahabatan yang tidak mengkhianati Islam atau atas asas dakwah. Bahkan al-Quran dalam surah al-Maidah membenarkan perkahwinan dengan wanita Yahudi dan Kristian yang dikategorikan sebagai Ahlul Kitab. Maka, seseorang Yahudi ataupun Negara Yahudi kerana permusuhan mereka.
Sementara Yahudi di tempat lain yang tidak menzahirkan permusuhan kepada umat Islam, tidak wajar dimusuhi. Emosi tidak membolehkan menghukum yang tidak bersalah, dan juga tidak boleh membiarkan kezaliman ke atas yang pihak yang lain. Firman ALLAH: “ALLAH tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Sesungguhnya ALLAH hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahah, 8-9) Juga perlu kita tahu, al-Quran menyatakan bahawa kecenderungan Yahudi dan penyembah berhala memusuhi Islam lebih besar dibandingkan orang Kristian. Orang Kristian disifatkan lebih lunak kepada orang Islam dibandingkan Yahudi dan Musyrikin.
Firman ALLAH: “Demi sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang paling dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak sombong” (Surah al-Maidah: 82).
Pun begitu, Islam hanya bertindak apabila terbukti. Sesiapa yang tidak menzahirkan tindakan permusuhan maka dia tidak dimusuhi sekalipun dia Yahudi. Dalam sejarah Yahudi, The Golden Age of Judaism itu di Sepanyol ketika di bawah pemerintahan umat Islam. Sedangkan di Eropah pada masa dahulu, Kristian sering memandang buruk dan jahat terhadap Yahudi disebabkan perangai mereka. Sebab itu mereka terpaksa hidup di sebalik tembok ghetto.
Rekod Yahudi yang buruk itu menjadikan mereka sering dimusuhi di serata tempat dan Hitler itu hanya salah satu manifestasi kebencian itu. Namun, Islam yang tulen hanya menghukum berdasarkan kesalahan yang dizahirkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Bagaimana dengan Zionis yang majoritinya tergolong daripada keturunan Yahudi? Memang sahih bahawa zionis merupakan fahaman yang angkuh dan membawa kerosakan pada sebilangan kerajaan di bumi?
Israel merupa kerajaan zionis.
Post a Comment