Wanita dilacur bapa tiri simpan rekod 800 pelanggan termasuk dari ahli politik.
Kajang: Tidak tahan dipaksa menjadi pelacur kelas atasan oleh bapa tirinya sejak lapan tahun lalu menyebabkan seorang wanita jelita bertindak nekad membuat laporan polis minggu lalu. Wanita terbabit yang kini berusia 25 tahun mendakwa mula dipaksa menjual tubuhnya kepada pelanggan lelaki kaya ketika dia baru menamatkan persekolahan pada usia 18 tahun.
Sumber polis berkata, mangsa mendakwa dipaksa melayan nafsu kira-kira 800 lelaki sejak bergelar pelacur berdasar rekod disimpannya secara sulit. “Berdasarkan maklumat, bapa tiri mangsa yang berusia 40-an memaksa wanita terbabit menjadi pelacur dengan kadar bayaran minimum RM300 hingga RM500 bagi sekali perkhidmatan.
“Bagaimanapun duit hasil kegiatan pelacuran itu mencecah puluhan ribu sebulan diambil sepenuhnya oleh bapa tiri mangsa. Mangsa hanya diberikan sedikit wang bagi membeli keperluan diri sahaja,” katanya. Menurutnya, mangsa bagaimanapun memberitahu menyimpan rekod identiti membabitkan nama pelanggan, nombor telefon, harga perkhidmatan dan lokasi pertemuan diadakan.
“Dia (mangsa) menyimpan semua maklumat itu di dalam diari khas termasuk jumlah wang dibayar oleh pelanggannya sebelum ini. “Berdasar rekod dikumpul, mangsa mendakwa sudah dilanggani kira-kira 800 lelaki sepanjang menjadi pelacur sejak tahun 2006,” katanya. Malah agak mengejutkan apabila pelanggan yang pernah mendapatkan khidmat mangsa adalah dikalangan kenamaan, ahli politik, peguam dan ahli perniagaan tempatan.
“Mangsa yang tidak tahan dipergunakan oleh bapa tirinya untuk mendapatkan wang mudah kemudian tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini, untuk membuat laporan polis minggu lalu. “Polis sudah mengambil keterangan daripada mangsa sebelum memulakan siasatan terhadap kes itu. Susulan itu polis memberkas bapa tiri mangsa sebelum ditahan reman awal minggu ini,” katanya. Menurutnya, kertas siasatan kes itu sudah diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa raya untuk tindakan lanjut.-HM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
cuba check bapa tirinya berasal dari mana.
Post a Comment