Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid berkata dengan pelaksanaan langkah itu kerajaan negeri tidak perlu menaikkan kadar cukai taksiran Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang akan membebankan rakyat.
Beliau berkata langkah yang sewajarnya dilakukan kerajaan negeri ialah mencari jalan meningkatkan kecekapan MPPP dan MPSP yang gagal mengutip tunggakan cukai taksiran bernilai RM76.3 juta.
"Keputusan menaikkan cukai taksiran bagaikan memaksa pembayar cukai menampung tunggakan besar untuk mereka yang tidak membayar. Adakah ini layanan yang adil terhadap rakyat Pulau Pinang yang membayar cukai taksiran?
"Kenaikan kadar cukai taksiran yang diumumkan semalam dengan alasan peningkatan kos mengurus pepejal oleh kedua-dua PBT menunjukkan kelemahan kerajaan negeri dalam pengurusan sumber," katanya dalam satu kenyataan hari ini, mengulas kenaikan kadar cukai taksiran MPPP dan MPSP bermula 1 Januari, 2015.
Selain membebankan rakyat, kenaikan cukai taksiran itu katanya bercanggah dengan kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam Buletin Mutiara pada 9 Januari 2014, yang melaporkan kerajaan negeri akan mengabaikan syor kerajaan pusat menaikkan kadar cukai taksiran dengan alasan tidak mahu membebankan rakyat, katanya.
"Kenaikan cukai taksiran bukan sahaja tidak dapat selesaikan masalah tunggakan, malah masalah tersebut dijangka menjadi lebih teruk kerana tidak nampak sebarang usaha gigih untuk menangani punca masalah tunggakan tersebut.
"Rakyat Pulau Pinang berhak mengetahui kenapa tunggakan sebanyak RM76.3 juta tidak dapat dikutip. Adakah kedua-dua PBT takut untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang enggan membayar cukai taksiran?," katanya.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow mengumumkan kenaikan kadar cukai taksiran untuk kedua-dua PBT bermula tahun hadapan.
Chow berkata kerajaan negeri sebelum ini telah beberapa kali menangguhkan cadangan untuk menyemak semula senarai nilaian walaupun dibenarkan dalam peruntukan undang-undang setelah mengambil kira kepentingan rakyat.
Dalam sidang media semalam Chow berkata, kedua-dua PBT itu tidak menaikkan kadar cukai taksiran sejak 2005 walaupun ia perlu dikaji setiap lima tahun dan sejak 2009, MPPP dan MPSP memohon membuat penilaian bagi menaikkan kadar cukai tetapi ditolak.
Katanya dengan peningkatan itu, MPPP dapat menambah pendapatan RM20.46 juta pada tahun hadapan dengan kutipan RM180.9 juta berbanding R160.438 tahun ini, manakala kutipan MPSP pula meningkat kepada RM158.2 juta berbanding RM137.7 juta tahun ini, iaitu peningkatan RM20.49 juta. – Bernama
No comments:
Post a Comment