Kerajaan Negeri Kedah Cuba Tumpang Nama!

Kerajaan Pas Kedah diselar kerana beria-ia mahu menjadikan Kedah sebagai Belanda Timur tetapi hakikatnya ia tidak berbuat apa-apa untuk meningkatkan sektor pertanian di negeri ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Ahmad Bashah Hanipah berkata, kerajaan negeri seolah-olah cuba menumpang nama atas usaha yang dilakukan oleh kerajaan Pusat menerusi agensi-agensi berkaitan.

“Kerajaan negeri mahu menjadi Belanda Timur tetapi tidak pernah pun terlibat dalam memacu pertanian sebaliknya hanya menumpang kejayaan petani yang dibantu agensi Pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas usaha Menteri Besar Kedah yang mahu melawat projek-projek pertanian yang berjaya kononnya atas usaha kerajaan negeri Kedah.

Ahmad Bashah ditemui selepas melawat Projek berkelompok Tanaman Pisang Berangan oleh penduduk Ulu Legong dekat sini semalam.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bayu, Azmi Che Hussin.

Tambahnya, semua bantuan untuk projek pertanian disediakan oleh agensi Pusat seperti Jabatan Pertanian tetapi apabila sesuatu projek itu berjaya, kerajaan negeri tanpa segan-silu mengaku ia disumbangkan oleh mereka.

Beliau turut mendedahkan langkah kerajaan negeri mengadakan bancian mengenai jumlah pokok yang mampu mengeluarkan hasil.

“Apakah tujuan bancian ini? Adakah semata-mata mahu mengumumkan negeri ini mempunyai jumlah pokok buah-buahan yang banyak sebagai membuktikan Kedah kini memiliki pengeluaran yang besar?” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Projek Kelompok Tanaman Pisang, Suraidi Ahmad, 40, mengakui ada usaha pihak tertentu yang mahu mengakui projek itu satu kejayaan kerajaan negeri.

“Sedangkan apa yang diusahakan ini atas usaha kami sendiri dengan bantuan agensi kerajaan Pusat,” katanya.

Kata Suraidi, adalah tidak adil untuk pihak berkenaan mengakui projek itu adalah usaha sama dengan kerajaan negeri, sedangkan peserta bersusah payah mengusahakannya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...