Ketua Cabang PKR Rantau Panjang Didakwa Subahat Terima Rasuah Dan Menipu
KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Ketua Cabang Pakatan Rakyat (PKR) Rantau Panjang, Mohammad Agos Mohd Noor didakwa di Mahkamah Sesyen pada Jumaat terhadap pertuduhan bersubahat dengan seorang ibu tunggal bagi mendapatkan anugerah Dato' D'Raja dari sebuah persatuan, tahun lepas.
Mohammad Agos, 52, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Beliau didakwa bersubahat dengan Nor Azimah Jamaludin untuk menerima satu suapan RM50,000 melalui cek Public Bank Berhad bertarikh 7 Dis 2010, iaitu sebagai dorongan untuk mendapatkan anugerah Dato' D'Raja dari Persatuan Kerabat D'Raja DYMM Long Yunus Negeri Kelantan.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 28(1)(C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama, membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana satu lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mohammad Agos turut didakwa mengikut pertuduhan pilihan, iaitu bersubahat dengan Nor Azimah menipu seorang lelaki, Izuldin Hani Mohd Noor, dengan memperdayakan Izuldin Hani untuk mempercayai bahawa Nor Azimah boleh mendapatkan anugerah Dato' D'Raja padahal ia tidak sah mengikut Undang-undang Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan.
Perbuatan tertuduh itu mendorong Izuldin Hani untuk menyerahkan sekeping cek Public Bank Berhad, cawangan Jalan Raja Chulan bernilai RM50,000 bertarikh 7 Dis 2010, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan cek itu sekiranya tidak diperdayakan.
Mohammad Agos didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah Restoran McDonald's Lot 3644 dan 8081, Taman Melati Mukim, Setapak, di sini, pada 5 petang, 8 Dis tahun lepas.
Mahkamah membenarkan Mohammad Agos yang diwakili peguam Wan Helmi Wan Hassan, diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin seperti yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan dan menetapkan 9 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan seorang ibu tunggal didakwa terhadap pertuduhan menerima suapan dan pertuduhan pilihan iaitu menipu bagi mendapatkan anugerah Dato' D'Raja dari sebuah persatuan, tahun lepas.
Tertuduh, Nor Azimah Jamaludin mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu apabila pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rosbiahanin Ariffin.
Nor Azimah, 31, didakwa menerima suapan itu daripada Izuldin Hani berjumlah RM50,000 melalui cek Public Bank Berhad sebagai dorongan mendapatkan anugerah Dato' D'Raja dari Persatuan Kerabat D'Raja DYMM Long Yunus Negeri Kelantan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(AA) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana satu lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pilihan, Nor Azimah didakwa menipu Izuldin Hani dengan memperdayakan mangsa mempercayai bahawa Nor Azimah boleh mendapatkan anugerah itu padahal ia tidak sah mengikut Undang-undang Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan.
Perbuatan tertuduh itu mendorong Izuldin Hani menyerahkan sekeping cek Public Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan bernilai RM50,000 bertarikh 7 Dis 2010, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan cek itu sekiranya tidak diperdayakan.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan disebat dan boleh juga didenda.
Mahkamah membenarkan Nor Azimah yang tidak diwakili peguam, diikat jamin RM30,000 seperti yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan dan menetapkan 9 Mei ini untuk sebutan semula kes.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment