Jamil Khir: Saya guna duit sendiri ubah suai rumah, bukan wang zakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersedia untuk bersumpah bagi membuktikan yang beliau tidak menggunakan wang zakat untuk membesarkan rumahnya di Kampung Batu Muda, Batu Caves, dekat sini.
Jelas Jamil Khir, rumah itu telah dihuni bersama keluarganya sejak 1994 dan kerja-kerja pengubahsuaian dibuat menggunakan wang sendiri.
“Wallahi, saya tak ambil duit zakat, boleh semak zakat Wilayah Persekutuan dapat audit bersih.
“Saya berani bersumpah kalau mereka berani,” kata beliau pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Semalam, portal Malaysia Today telah menyiarkan gambar rumah milik Jamil Khir yang mana didakwa dianggarkan mencecah jutaan ringgit.
Dalam laporan itu, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Khairul Anuar Ahmad Zainuddin mendesak Jamil Khir menjelaskan tentang rumah mewah itu.
Menurut Khairul Anuar, keraguan timbul apabila Jamil Khir yang dilantik sebagai menteri tiga tahun lalu dan hanya memperoleh gaji tidak menjangkau RM15,000 sebulan, namun mampu memiliki kediaman mewah dalam tempoh yang singkat.
“Kalau dia (Jamil Khir) rasa seorang yang berpegang teguh terhadap agama dan ada kebertanggungjawaban terhadap negara, dia perlu jujur menjelaskan kekayaan sebelum dan selepas (menjadi menteri),” katanya.
Jelas Jamil Khir, tuduhan yang dilemparkan terhadapnya itu disifatkan sebagai “politik terdesak” untuk memburukkan imejnya.
“Jawapan mudah, saya duduk rumah di Kampung Batu Muda sejak 1994, sudah 17 tahun saya duduk dan saya tidak tahu mengapa dibangkitkan?
ia hanya penambahbaikan rumah dan tuduhan adalah politik terdesak.
“Saya tidak mahu panjangkan perkara ini, saya dulu bukan penganggur. Saya dulu tentera dan jawatan terakhir saya Mejar Jeneral, malah saya juga tentera yang berpencen dan ada ganjaran, RM1 juta tiadalah tapi adalah,” katanya.
Jelas beliau, rumah itu dibesarkan untuk menampung bilangan ahli keluarga yang semakin membesar.
“Rumah ini pun hutang dengan kerajaan sejak 1994, kami keluarga besar,mak dan ayah duduk sekali, anak enam orang jadi ramai lagi pun anak-anak saya bekerja,” katanya.MI
2 comments:
aku x setuju dgn fitnah...tp kdg2 tindakan kita membuka ruang untuk fitnah..JKB sepatutnya jelaskan dgn fakta utk megelakkan kekeliruan..klu pinjam kerajaan bg bukti..klu 'deny' sajer x kuat la
"RM1 juta tiadalah tapi adalah"..ape maksud nie yop?
Post a Comment