Bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mendakwa keseluruhan kerja-kerja pengubahsuaian pejabatnya adalah lebih rendah kosnya jika dibandingkan dengan kos pengubahsuaian pejabat Exco lain seperti Dr. Xavier Jayakumar dan Dr. Halimah Ali. Hasan menjelaskan perkara itu yang merupakan salah satu daripada tiga dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali yang mendedahkan Hasan terlibat menyalahgunakan dana dan kedudukan ketika membahaskan titah Sultan Selangor pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor Jumaat lalu.
Hasan berkata, kerja-kerja pengubahsuaian dijalankan itu amat sederhana daripada segi kualiti bahan dan mutu kerja dilaksanakan. Beliau menegaskan kerja-kerja pengubahsuaian itu bukan hanya melibatkan ruang pejabatnya tetapi juga termasuk bagi 19 orang termasuk semua pegawai dan kakitangan Skim Mikro Kredit Selangor (Skimsel).
“Saya ingin jemput Yang Berhormat Bukit Antarabangsa membuat sedikit penyiasatan untuk membuat perbandingan antara pengubahsuaian pejabat saya dengan kerja-kerja pengubahsuaian mana-mana Jabatan Kerajaan Negeri termasuk anak syarikat dan badan berkanun dalam tempoh yang sama. “Mengikut maklumat saya perolehi, kerja-kerja pengubahsuaian pejabat saya adalah lebih rendah kosnya jika dibandingkan dengan kos pengubahsuaian pejabat Exco lain seperti Xaxier dan Halimah,” katanya pada sidang media di rumahnya di sini.
Menurutnya, beliau boleh memaafkan kealpaan Azmin kerana menimbulkan semula isu tersebut tetapi sukar baginya untuk memaafkan Azmin kerana didakwa mempunyai niat buruk tersembunyi menimbulkannya semula.
Katanya, tindakan Azmin mempersoalkan kredibilitinya di sidang Dun itu dilihat sebagai secara langsung mempertikaikan kredibiliti kerajaan Pakatan Rakyat (PR). “Mungkin beliau sendiri meragui kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam menerajui pentabdiran maka sebab itulah beliau (Azmin) memilih untuk menyerang kedudukan saya sebagai bekas Exco dalam ucapannya itu,” katanya.
Dalam pada itu, Hasan turut menjelaskan kos pelancaran pelancaran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) berjumlah RM546,920 mendapat kelulusan mensyuarat Exco. Menurutnya, pihak lembaga Padat memutuskan untuk menggunakan peruntukan bajet tahunan yang asalnya diperuntukkan kepada Muzium Negeri.
“Sebab itulah jumlah peruntukan dicantumkan kelihatan agak besar tetapi setiap perbelanjaan mendapatkan kelulusan pihak Exco dan Kerajaan Negeri,” katanya. Hasan berkata, bagi menjawab dakwaan ketiga Azmin, pejabat Exco tidak menggunakan kuasa mutlak untuk pemilihan 85 subkontraktor tersebut sebaliknya sentiasa berunding dengan kontraktor utama sebelum senarai tersebut dihantar ke pejabat Perbendaharaan Negeri Selangor. “Hanya pejabat Perbendaharaan Negeri Selangor berhak meluluskan senarai tersebut dan kemudiannya dipanjangkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri untuk memuktamadkan perlantikan,” katanya.-SH
No comments:
Post a Comment