KUCHING, 22 Ogos - Sekumpulan penjenayah bukan saja mencuri sejumlah
barang berharga dan sebuah kereta Perodua Viva milik seorang ahli
politik malah turut bersuka ria menghabiskan beberapa tin minuman soya
selepas memecah masuk sebuah rumah banglo di Taman Matang Indah di sini
semalam,
Dalam kejadian pada pukul 5 pagi, kumpulan penjenayah terbabit memasuki
rumah banglo dua tingkat milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop,
Abdullah Saidol yang semasa kejadian dikatakan berada di Kampung Rajang,
Sibu.
Kejadian pecah masuk itu disedari oleh pemandu Pengerusi Kelab Penyokong
Barisan Nasional Sarawak (BNBBC) itu, Khairul Amir Shahrir, 27, yang
pergi untuk memeriksa rumah tersebut pada pukul 8 pagi.
Bagaimanapun, Khairul Amir terkejut mendapati rumah majikannya ada kesan umpil.
Sementara itu, Abdullah Saidol semasa dihubungi berkata, kejadian itu
merupakan yang pertama berlaku sejak dia dan keluarga tinggal di situ
lebih enam tahun lalu.
Saya terkilan kerana banyak hasil kerja dan dokumen penting dalam
komputer hilang bersama komputer tersebut," kata beliau.
Menurut beliau, pencuri menggeledah bilik utama, bilik belajar, rak
pakaian dan rak buku sebelum melarikan pelbagai barang berharga miliknya
dan keluarga.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad
mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, penjenayah tersebut bukan
setakat mencuri malah mereka juga dipercayai telah menghabiskan minuman
soya di rumah mangsa.
Menurut beliau, pemeriksaan di dalam rumah tersebut menemui beberapa
kesan cap jari penjenayah tetapi setakat ini belum ada tangkapan.-Kosmo
No comments:
Post a Comment