Terkini.. Senarai Kabinet Transformasi Najib Diumumkan?


Namakanlah apa sahaja sama ada Kabinet Transformasi atau sebarang nama lain, barisan jemaah menteri pasca PRU13 seharusnya adalah pasukan terbaik dan paling mantap untuk memperkasakan semula BN menghadapi PRU14.

Ini kerana tanpa barisan terkuat, sukar bagi kerajaan untuk menangkis serangan pembangkang yang turut membariskan barisan bertenaga bagi mengasak BN yang sudah masuk penggal kedua bertahan tanpa majoriti dua pertiga.

Di pihak rakyat pula, kita semua tertunggu-tunggu, siapakah yang bakal mengisi barisan terkuat itu? Kalangan pemerhati menjangka Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumum senarai itu hari ini atau selewat-lewatnya esok.

Meskipun menamakan anggota Kabinet adalah prerogatif Perdana Menteri (untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong), namun sebagai pelanggan kepada kerajaan, kita juga mempunyai hak untuk menyuarakan harapan malah menyediakan senarai bayangan siapa yang kita fikir layak berada dalam senarai itu.

Pada masa yang sama, kita juga fahami kriteria dan aspek yang perlu diberi pertimbangan Najib selaku ketua parti dan juga ketua kerajaan yang memenangi pilihan raya bukan dengan majoriti yang benar-benar kukuh.

Situasi ini memerlukan beliau benar-benar teliti termasuk untuk mencegah api rasisme yang sudah mula ditiupkan oleh pihak tertentu sehingga mencetuskan apa yang dipanggil tsunami Cina pada pilihan raya lalu.

Sehubungan itu, Kabinet baru ini seharusnya mampu untuk mengembalikan keyakinan rakyat dengan ciri-ciri keseimbangan yang boleh diterima oleh semua pihak.

Di Jabatan Pengarang Sinar Harian petang semalam, setelah jenuh berbincang dengan berbagai-bagai hujah untuk menyokong pilihan masing-masing, kami ketengahkan senarai anggota Kabinet Transformasi yang difikirkan layak.

Di Jabatan Perdana Menteri, barisan sedia ada yang terdiri daripada Datuk Seri Mohd Nazri Aziz, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili masih boleh dikekalkan dengan portfolio masing-masing.

Jamil Khir malah mempunyai kedudukan yang lebih kukuh berbanding penggal lalu kerana beliau kini tidak lagi bersandar pada kerusi Ahli Dewan Negara (Senator). Kejayaannya merampas kerusi Parlimen Jerai dari tangan Pas harus diberi pengiktirafan.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan pula sudah sampai masa untuk dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh, kekal di JPM. Walaupun MCA sebagaimana yang diumumkan oleh presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sudah membuat ketetapan untuk menolak jawatan dalam kerajaan, Sinar Harian berpendapat wakil parti itu yang menang tidak seharusnya dipinggirkan.

Pemimpin seperti timbalan presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pemuda, Datuk Dr Wee Ka Siong masih perlu diberi tempat dalam kerajaan. Mereka juga dilihat barisan pelapis yang berkeupayaan untuk menongkah tsunami Cina yang sedang melanda.

Tiong Lai harus diberi pertimbangan untuk menduduki portfolio tradisi MCA sebagai Menteri Pengangkutan manakala Dr Wee mengambil alih portfolionya sebagai Menteri Kesihatan.

Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel yang baru menang kerusi Parlimen Cameron Highlands pula boleh mengambil semula portfolio Kerjaraya yang sebelum ini cukup sinonim dengan Datuk Seri S Samy Vellu. Pada penggal lalu, kementerian itu dipegang oleh Umno menerusi Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Datuk S Subramaniam yang mengekalkan kerusi Parlimen Segamat, dikira paling sesuai untuk kekal juga sebagai Menteri Sumber Manusia. Dari Sabah, Datuk Anifah Aman dianggap cukup berkeupayaan untuk dikekalkan sebagai Menteri Luar.

Dari Sarawak pula selain mengekalkan Datuk Seri Douglas Uggah Embas sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Fadzillah Yusoff dikira layak untuk naik pangkat sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Sebelum ini, beliau timbalan menteri di kementerian berkenaan.

Bagi memperkasakan lagi bidang pertanian dan industri asas tani sekali gus mendekatkan lagi kerajaan dengan masyarakat luar bandar yang setia menyokong ketika pengundi bandar mula beralih arah, menteri yang diberi tanggung jawab itu juga seharusnya daripada kalangan pemimpin kanan parti. Untuk itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal dikira sesuai.

Ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menduduki kerusi yang sama dalam Umno, beliau juga pernah diberi portfolio ini pada era kerajaan Pak Lah. Dua lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dijangka akan dikekalkan jawatan lalu.

Bekas Menteri Kerjaraya, Shaziman pula mungkin akan mengambil alih teraju Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Ini kerana ketetapan MCA untuk menolak jawatan Kabinet dilihat paling banyak boleh diisi wakil parti itu hanya dua kerusi menteri.

Datuk Noriah Kasnon yang berjaya mengekalkan rekod cemerlang di kerusi Parlimen Sungai Besar, wajar diberi pertimbangan untuk naik pangkat sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dalam pada itu, muka baru yang dikira tidak dapat tidak harus berada dalam Kabinet termasuk Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Meskipun kali pertama, Khairy harus diberi pertimbangan untuk lantikan sebagai menteri penuh. Kementerian paling sesuai dengannya jika bukan Belia dan Sukan ialah di Angkasapuri (Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan).

Idris pula sebagai Menteri Pelajaran. Ini mengambil kira kesan besar yang ditinggalkannya di Terengganu menerusi pelbagai program kecemerlangan seperti program Ulul Albab yang kemudian diteruskan di MRSM sejak beliau memegang jawatan Pengerusi Mara. Juga kejayaannya mengilhamkan Sekolah Imtiaz yang menggabungkan pendidikan Islam dan sains di bawah Yayasan Terengganu (YT).

Dari Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dijangka paling sesuai untuk isi portfolio sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Ini sebagai hadiah kepada Umno Kedah yang berjaya ambil alih pemerintahan negeri daripada PR dan sehubungan itu, usaha untuk menggiatkan pembangunan kawasan luar bandar negeri itu harus diberi perhatian.

Dari Wilayah Persekutuan, Datuk Johari Abdul Ghani dijangka akan mengisi slot sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Ini menepati isu yang perlu diperjuangkannya sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa di mana isu Kampung Baru menjadi fokus sejak sekian lama.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dijangka kekal dengan portfolionya. Mungkin kejutan, Datuk Saifuddin Abdullah yang tewas pada pilihan raya lalu masih diperlukan. Malah beliau wajar dilantik Senator dan Menteri Pengajian Tinggi memandangkan keupayaannya mendekati dan memahami golongan pelajar universiti sebagai langkah mendekatkan mereka dengan kerajaan.

Menidakkan Saifuddin dengan fungsi itu seolah-olah membiarkan jurang pelajar dan kerajaan semakin melebar. Datuk Seri Noh Omar hampir pasti kekal dalam Kabinet dengan portfolio Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Datuk Seri Mustapa Mohamed mungkin sebagai Menteri Kewangan manakala Datuk Seri Husni Hanadzlah ke MITI. Dalam pada itu, pada barisan timbalan antara yang boleh diketengahkan termasuk Datuk Irmohizam Ibrahim, juga Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Rahim dijangka mengisi salah satu kerusi timbalan menteri. Ya, benar agak ramai muka lama masih berada dalam Kabinet ramalan Sinar Harian.

Inilah transformasi di mana peralihan harus dibenarkan berlaku secara lancar dan teratur daripada yang lama kepada yang baru. Dalam beberapa tahun, mungkin sesingkat dua tahun akan datang, mungkin akan ada peralihan lagi.

4 comments:

Anonymous said...

Salam.Pendapat sposen saya mengenai perlantikan menteri dan timbalan menteri mestilah calon salon BN yang menang sahaja.Ini bermakna kerajaan mengiktiraf undi rakyat.TIDAK ADA LANTIKAN SENATOR kerana senator bukanlah kehendak rakyat mengundi.Timbalan menteri yg kalah tu biarlah dia dibekukan Gantikan dengan calon parlimen yg menang sahaja

Anonymous said...

Lantiklah siapa pun, budaya rasuah dan menyonglap duit rakyat secara terancang akan tetap berlaku kerana kesemua menteri dan Timb. menteri bertuhankan duit bukannya Allah..

anti cacai dapigss said...

anon 157
ko jgb sembang la
org bangsat mcm ko je hati busuk sts bersangka buruk
tu hg pakatan gila putrajaya sbb apa?
sbb gila duit la bongok cacai dapig weii..
bangang melayu pecacai dapig ni

Anonymous said...

Salam,

Sekiranya Dato Seri Najib inginkan Kabinet yang bersifat 1 Malaysia, porfolio kementerian seperti 1)Kementerian Perumahan, 2)Kementerian Tenaga 3)Kementerian Kesihatan tidak lagi diletakkan dibawah menteri MCA/Gerakan sebaliknya diletakkan dibawah Menteri UMNO. Manakala, Menteri MCA/Gerakan diberiPortfolio 1)Menteri Wanita 2) Menteri Pertanian 3) Menteri Luar Bandar.
Dengan demikian tidak akan berlaku lagi mana2 bangsa memonopoli kementerian yang penting. sebaliknya, Menteri UMNO akan melihat keperluan bangsa cina dan Menteri MCA/Gerakan akan melihat keperluan bangsa Bumiputra. Keseimbangan perpaduan sosial akan terbentuk

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...