Kisah Dua Anak Samad Di Dewan Rakyat..
Sidang Dewan Rakyat sudah bermula sejak isnin lepas dengan upacara angkat sumpah kesemua ahli parlimen yang telah dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu. Semua mata tertumpu kepada wajah-wajah yang bakal membawa suara rakyat ke parlimen dan sosok yang bakal mengubal undang-undang negara.
Di Dewan Rakyat, yang sering disebut ialah penglibatan anak beranak seperti ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anaknya Nurul Izzah Anwar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala dari DAP pula terdapat dua anak beranak iaitu Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng serta Karpal Singh dan Gobind Singh.
Amat jarang orang menyebut tentang dua beradik yang hadir di Dewan Rakyat iaitu ahli parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad dan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Lebih menarik lagi dua anak Samad ini mewakili parti yang berbeza, Shahrir yang baru dilantik sebagai pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) mewakili UMNO manakala Khalid yang dipilih untuk penggal kedua ke dewan rakyat mewakili PAS.
Biarpun keduanya mewakili parti berbeza tetapi dua beradik ini tetap mesra dan amat profesional. Dalam dewan rakyat mereka menyuarakan pandangan mengikut perjuangan parti masing-masing tetapi bila di luar dewan, hubungan antara adik dan abang tidak terputus malah saling hormat menghormati.
Shahrir, 63, sebelum ini pernah memegang jawatan menteri dan pernah bertanding sebagai calon bebas di parlimen Johor Bahru. Shahrir sering dianggap adik kepada Khalid biarpun hakikatnya beliau merupakan abang. Ini kerana sebelum ini Shahrir sering tampil dengan imej 'clean cut', tidak bermisai atau berjanggut.
Kehadiran Shahrir pada isini ketika majlis angkat sumpah ahli parlimen mencuri perhatian ramai. Baik wakil BN atau pembangkang agak terkejut dengan imej baru Shahrir yang bermisai dan berjanggut. Ini membuatkan ada yang menyapa beliau kerana mahu tahu puncanya tampil dengan imej baru.
Shahrir ketawa bila soalan tentang imej baru beliau diajukan oleh rakan dan juga oleh Astro AWANI.
“Imej baru!...apa sebabnya?, sebab tak cukur itu saja,” katanya dalam nada bergurau.
Kemudian secara berjanaka Shahrir membuka rahsia kenapa dia tampil dengan imej baru yang bermisai dan berjanggut. Katanya, imej baru itu kerana kasihankan adiknya Khalid.
“Sebenarnya salah satu sebab orang kata saya adik kepada MP Shah Alam. Oklah, saya kasihankan dia sebab nampak macam dia tua, saya cuba nak tua kan saya,” katanya.
Shahrir, 63 tahun merujuk kepada adiknya Khalid, ahli Parlimen PAS Shah Alam yang berusia 56 tahun. Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS 11 Selangor sentiasa dengan imej bermisai dan berjambang.
Shahrir mengakui ini kali pertama menyimpan misai dan tidak pasti berapa lama dia boleh bertahan dengan imej baru itu.
“Cubalah tengok, berapa lama boleh tahan,” katanya.
Menurut Shahrir ada rakan-rakan yang suka dengan imejnya itu dan sebaliknya.
Ditanya komen isterinya dengan imej baru beliau, Shahrir berkata,”mula-mula dia suka. Lepas tu tengok dah lama-lama macam saya tak terurus..tetapi lepas saya pergi jumpa tukang gunting..trim..sekarang tak kisah dah,”.
Ketika temubual sedang diadakan, Khalid tiba-tiba muncul dan bersalaman dengan semua yang ada disisi Shahrir. Mereka berdua mula bergurau senda.
"Hah...mana satu abang mana satu adik ni?" tanya Shahrir sambil ketawa.
"Nasib baik aku masih kenal abang aku," balas Khalid yang dikenali sebagai seorang yang lantang dalam Dewan Rakyat dan juga dalam partinya. Sama seperti Shahrir, jika ada yang perlu ditegur, beliau akan bersuara biarpun yang menerima teguran sinis beliau itu adalah dari partinya sendiri.
Keduanya amat sporting dan sempat bergambar bersama bila ada antara ahli parlimen lain minta untuk merakamkan foto mereka bersama.
"Aku kasihankan Khalid ni, orang kata dia tua," gurau Shahrir.
"Tapi aku lebih banyak rambut warna hitam," balas Khalid dan kedua-duanya ketawa.-AstroAwani
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment